SABAN tahun, tujuh selebriti bersahabat baik ini tidak pernah lupa untuk membantu golongan yang memerlukan, lebih-lebih lagi kaum wanita.

Selepas berjaya dengan  program Power to Empower (program mentor Celepets) untuk 10 ibu tunggal terpilih tahun lalu, Celepets (singkatan daripada Celebrating Pet Projects Together) yang terdiri daripada  Sazzy Falak, Aishah Sinclair, Daphne Iking, Dynas Mokhtar, Serena C, Yasmin Hani dan Atilia Haron meneruskan projek amal mereka menerusi Celepets Care.

Menurut Sazzy, mereka bertujuh terdetik memulakan projek Celepets Care selepas menerima banyak mesej bantuan buat ibu tunggal yang terkesan akibat wabak Covid-19 sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan bersyarat (PKPB) yang lalu.

Atas faktor itu mendorong mereka membuat kutipan amal menerusi Kitafund seminggu sebelum raya dan membahagikan hasil kutipan sebanyak RM13,000 kepada beberapa keluarga pada hari raya kedua yang lalu.

“Alhamdulillah, hasil kutipan itu dapat kita salurkan. Atas sambutan yang menggalakkan dan Dynas sendiri banyak menerima mesej daripada pihak yang meminta bantuan untuk ibu tunggal, membuatkan kita tekad untuk teruskan projek Celepets Care ini,“ katanya menerusi sidang media secara maya baru-baru ini.

CELEPETS
Celepets sering membantu ibu tunggal menerusi penganjuran malam amal seperti yang berlangsung tahun lepas.

Tambah Sazzy, Celepets Care turut mendapat kerjasama yang baik daripada Ministry of Marketing Asia yang menyediakan program khusus, Power To Empower Product & Brand Awareness Show: SME Edition, bagi melancarkan perjalanan usaha murni itu.

Tidak ketinggalan, Kindness Malaysia yang buat kesekian kalinya berganding bahu bersama Celepets terutama dalam menyediakan urusan logistik dan pengurusan bantuan kepada golongan wanita yang benar-benar memerlukan.

“Secara rasminya, Celepets Care telah memulakan sesi kutipan sumbangan dan penajaan daripada syarikat korporat serta individu perseorangan sejak 20 Mei lalu dan akan berakhir pada 30 Julai depan.

“Semua kutipan sumbangan  kemudiannya akan dibahagikan kepada golongan wanita kurang berkemampuan pada 15 Ogos depan.

“Pihak Celepets juga cukup bertuah kerana usaha murni kami mendapat sokongan padu daripada Kitafund yang bertindak sebagai saluran utama atau platform bagi menempatkan setiap sumbangan yang bakal diterima menerusi program itu nanti.

“Insya-ALLAH kami harap dapat mengutip sebanyak mungkin sumbangan, tidak hanya dari sudut kewangan, tetapi juga barangan keperluan dan peralatan sekolah,“ jelasnya.

Berpantang bukan halangan

Dalam pada itu, biarpun masih dalam tempoh berpantang, ia tidak sedikit pun menghalang Daphne daripada menjayakan projek amal itu.

Iklan

Sebagai antara salah seorang yang menyaring bantuan yang diberikan, Daphne berkata, dia banyak mendapat rujukan daripada aktivis, Syed Azmi Alhabshi.

“Saya turut terlibat membuat flyers projek ini dan bagi memastikan dapat menyalurkan bantuan kepada pihak yang benar-benar memerlukan, saya banyak rujuk dengan Syed Azmi.

“Memandangkan dana yang ada tidak banyak, jadi kami tidak mahu ia disalurkan kepada pihak yang salah atau scam. Jadi kami perhalusi betul-betul dan minta mereka ikut beberapa prosedur untuk mengenal pasti.

“Memang sukar tapi saya gembira kerana menjadi sebahagian daripada projek ini,“ ujarnya.

Iklan
daphne iking
Daphne kini dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak keempat, Ilon Daniel Iking Azmi.

Bagi menyemarakkan Celepets Care, setiap anggota Celepets akan menjalankan peranan menerusi laman sosial masing-masing bagi memastikan lebih ramai pihak yang dapat menghulurkan bantuan.

Ini termasuklah sebuah rancangan digital khas (seminggu sekali) yang bakal dihadiri bintang Celepets sendiri sekali gus dapat memberi penjelasan lebih terperinci kepada sesiapa sahaja yang ingin menderma melalui platform Celepets Care itu.

Untuk keterangan lanjut berkenaan Celepets Care sila hubungi Chatbot: https://m.me/CelepetsCare, Instagram: https://instagram.com/celepetscare dan Facebook: https://www.facebook.com/CelepetsCare/.

https://www.instagram.com/p/B_ognT4Jk_j/?utm_source=ig_web_copy_link