Chubb-E serap pengalaman dalam karya

CHUBB-E
June 26, 2020
Oleh Aqmar Mustaza

NAMA penyanyi dan komposer muda, Chubb-E adalah antara bakat baharu yang kian meniti di bibir penggiat muzik tempatan.

Karya yang dihasilkan mampu menarik perhatian ramai sekali gus mengumpul kelompok peminatnya tersendiri.

Iklan

Memulakan langkah sebagai anak seni sejak tahun 2014 ketika menyertai pertandingan realiti Ceria Popstar musim kedua, Chubb-E tidak menunggu lama untuk terus mengorak langkah.

Pernah menghasilkan single Aku Tak Kisah dan Kita Cuma Kawan, Chubb-E, 20, atau nama sebenarnya Muhammad Sharul Ashlyn AG Ashrul Affandy kini muncul dengan single solo ketiga berjudul Padan Muka.

Lagu bergenre urban hip hop hasil ciptaan Chubb-E sepenuhnya itu dilancarkan pada 15 Mei lalu. Ia diterbitkan di bawah syarikat rakaman FutureMusic Entertainment.

Iklan

Menurut Chubb-E, lagu itu dihasilkan sejak Ogos tahun lalu. Liriknya adalah mengenai kisah dirinya dalam mencapai impian bergelar pemuzik dan anak seni.

“Lagu ini adalah kisah benar mengenai diri saya yang pernah dipandang rendah dan diejek kerana mereka tak percaya saya boleh pergi jauh.

Iklan

“Rakan sekolah juga tidak yakin dengan impian saya.

“Mereka pandang rendah terhadap cita-cita saya kerana mereka berasakan terlalu pandai dan saya pula lemah dalam akademik.

“Namun, apabila sudah berjaya dan mencapai sasaran, tiba-tiba ramai yang datang termasuk mereka yang pernah mengejek dan memandang rendah kepada saya.

“Saya harap lagu ini dapat memberi inspirasi dan orang boleh mengaitkan diri masing-masing jika melalui perkara yang sama,” katanya.

CHUBB-E
Chubb-E antara bintang baharu yang semakin bersinar (Foto : Astro).

Berkongsi mengenai lagu itu, Chubb-E yang juga bekas juara program Ceria Megastar 2018 mengakui masih mengekalkan genre muzik sama yang disifatkan sebagai identiti dirinya.

“Dari dulu saya bermula dengan genre ini yang mana ia juga ‘forte’ saya.

“Macam mana sekali pun bunyi saya gunakan, mood lagu saya tetap ada bunyi hip hop. Tak boleh lari.

“Kalau buat pop balada sekali pun, sentuhan hip hop pasti ada. Ini adalah identiti saya.

“Saya nak dikenali sebagai artis hip hop yang versatil. Ada juga saya buat lagu pop untuk artis lain, tapi irama hip hop masih ada. Saya akan kekalkan muzik ini,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai kerjaya seninya, Chubb-E yang  terbabit dalam program Dansa Sing bersama Youngsters Crew sedang merancang untuk menghasilkan mix tape atau album EP yang memuatkan lagu rap hip hop sepenuhnya.

“Perancangan akan datang, saya nak mencipta dan menerbitkan lebih banyak lagu untuk artis lain.

“Untuk berkolaboratif dengan artis lain, saya rasa belum masanya kerana mahu cukupkan lima single solo dulu.

“Saya juga merancang untuk keluarkan EP yang mengandungi keseluruhan lagu rap. Saya mahu cipta lagu yang lain daripada lain untuk pendatang baharu.

“Cuma, saya harap orang boleh bezakan kami. Saya punya bunyi lain, mereka pun lain,” katanya.

 

Iklan

About Aqmar Mustaza

 
Iklan