SEMPENA sambutan Syawal, iflix membawakan sebuah drama komedi romantik berjudul Cinta Itu Fairy Tale secara eksklusif dan percuma bermula 21 Mei di iflix.com.

Drama 13 episod ini, mengisahkan tentang seorang gadis instafamous bernama Nina Suraya mengalami kekalutan hidup selepas gagal dalam percintaan dan masih mencari jejaka idamannya yang disangka hanya hadir dalam dunia fantasinya.

Cinta Itu Fairy Tale yang diarahkan oleh Tam Suhaimi dibintangi pelakon muda yang terdiri daripada Eyka Farhana, Afifah Nasir, Ikhsan Saleh (pelakon Indonesia),  Harris Baba, Wafiy Ann, Intan Ladyana, Amy Mastura dan ramai lagi.

Pihak iflix berharap agar drama Cinta Itu Fairy Tale menjadi sebuah kisah drama cinta millennial yang berjaya menambat hati penonton secara tidak langsung memantapkan lagi kualiti drama di Malaysia.

Pengarah drama tersebut, Tam Suhaimi berkata, penceritaan yang moden, santai dan mudah diikuti adalah faktor yang menonjolkan keunikan drama tersebut.

Cinta Itu Fairy Tale adalah sebuah kisah percintaan era moden dengan menampilkan elemen percintaan, komedi dan kekeluargaan.

Iklan

“Selain menampilkan barisan pelakon dari dalam dan luar negara, penceritaan yang moden, santai dan mudah diikuti adalah faktor yang menonjolkan keunikan drama ini.

“Jika sebelum ini karya saya menerima respon yang positif menerusi platform TV, saya mengorak langkah dengan melancarkan Cinta Itu Fairy Tale secara eksklusif dan percuma di iflix,” katanya.

Iklan

 

(SUMBER/FOTO: iflix)