ANAK tempatan yang berjaya sebagai penyanyi bertaraf antarabangsa, Yuna, berkongsi keterujaannya apabila berpeluang untuk membantu komuniti yang terkesan dengan wabak Covid-19.

Yuna bakal membuat persembahan melalui program #GroovesWithU Raya Special yang akan disiarkan pada 30 Mei 2020, jam 8.30 malam menerusi akaun YouTube U Mobile (www.youtube.com/umobile).

“Saya berbesar hati dijemput sebagai barisan artis #GroovesWthU Raya Special. Rancangan ini amat bermakna buat saya kerana pertama, saya dapat bernyanyi untuk peminat saya dan berinteraksi dengan mereka walaupun kita sedang mengamalkan penjarakan sosial.

“Kedua, saya berpeluang mempersembahkan lagu-lagu Aidilfitri kegemaran bagi menambah makna kepada musim perayaan ini.

“Saya juga teruja untuk meraikan kerjasama dengan U Mobile ini secara lebih bermakna dengan menderma kepada dua organisasi yang menyokong komuniti terkesan dengan wabak COVID-19, iaitu The Lost Food Project dan KITA Fund,” katanya.

Iklan

Sementara itu, menurut Ketua Penjenamaan Korporat dan Komunikasi di U Mobile, Tiffany Chew, selain Yuna, barisan artis hebat lain yang membuat persembahan adalah SonaOne, Pastel Lite dan Bil Musa.

“Kami berharap persembahan mereka akan menambah keriangan untuk musim perayaan ini,” ujarnya.

Iklan

#GroovesWithU adalah sebahagian daripada kempen #RayaWithU U Mobile yang bertujuan menyuntik semangat menyumbang dan aura positif, di samping menyokong perniagaan dan bakat tempatan.