Dari Sekinchan ke Kuala Selangor, rasai pengalaman bermalam di pinggir sawah padi

July 26, 2020
Oleh Farah Eliani

BERDEPAN hiruk-pikuk kesibukan kota dan menguruskan kehidupan harian adakalanya melelahkan. Menikmati keindahan alam semula jadi sudah tentu antara ‘ubatnya’.

Hanya mengambil masa antara satu ke dua jam perjalanan dari Kuala Lumpur, Sekinchan misalnya boleh menjadi lokasi yang sesuai untuk dituju.

Iklan

Selain panorama sawah padi, daerah yang menjadi lokasi tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran segar itu juga merupakan pusat pengeluaran hasil laut di Selangor.

Satu lagi magnet menggoda ke Sekinchan adalah kemeriahan industri perusahaan kecil dan inap desanya. Antara yang boleh dikunjungi ialah Sekinchan Padi Box.

Bayangkanlah, betapa nyamannya berada di jelapang padi. Itu yang ditawarkan inap desa di pinggir sawah berkonsepkan kabin unik dengan 13 bilik, beroperasi sejak lima tahun lalu itu.

Iklan

DEKORASI bilik di Sekinchan Padi Box yang sangat unik, ‘dihiasi’ sawah padi.

Terdapat variasi bilik untuk yang berpasangan, keluarga dan berkonsepkan dorm. Kemudahan seperti televisyen, bilik mandi dan keselesaan katilnya memang tiada kompromi.

Suasana kampung

Agar puas menikmati alam, pilihlah bilik dengan balkoni yang membolehkan pengunjung melangkah keluar menerusi pintu gelangsar dan bersantai betul-betul di sawah padi.

Jika kena masanya bolehlah merasai suasana menanam dan menuai padi dengan menggunakan sabit.

Pengurus Sekinchan Padi Box, Mohd Hairolnizam Yusuf berkata, proses menuai berlaku sebanyak dua kali iaitu pada bulan Jun dan Disember tiap tahun.

 

MOHD Hairolnizam Yusuf.

“Selalunya, para pengunjung impikan suasana padi sedang menguning, namun ia hanya muncul dalam tempoh singkat. Dalam masa satu minggu sahaja,” ujarnya.

Begitupun, usah kecewa. Tak perlu pergi jauh. Menikmati kepelbagaian konsep rekaan dalaman Sekinchan Padi Box sahaja sudah mengujakan.

Aktiviti memancing menggunakan batang ubi kayu sebagai rod di sekitar parit berdekatan dan berbasikal di sekitar sawah padi di situ sudah tentu menarik.

“Padi Box juga sediakan basikal untuk disewa. Boleh pilih basikal biasa ataupun jenis tandem untuk dua penunggang.

“Harga sewa basikal biasa RM10 untuk dua jam, manakala basikal tandem, RM15 untuk dua jam,” katanya.

Lebih menarik, sesi barbeku bersama famili dan kenalan juga boleh diatur. Hanya maklumkan pada pihak Sekinchan Padi Box jika berhasrat merancang untuk mengadakan aktiviti itu.

Padi Box juga terletak berdekatan kedai-kedai makan yang menawarkan pelbagai juadah makanan laut seperti mentarang, udang galah dan raja ketam.

Terdapat tiga pakej dekorasi bilik buat insan tersayang. Tempahan boleh dibuat di laman web https://www.padibox.com/ dan Airbnb sahaja.

ANEKDOT

  • Alamat: Lot 11126, Jalan Tali Air 4, Sekinchan, Selangor.
  • Harga bilik: RM118 ke RM140 (hari biasa), RM148 ke RM320 (hujung minggu)
  • Facebook: Sekinchan Padi Box – homestayInstagram: @padiboxhomestay

Berhasrat untuk meneruskan lokasi jalan-jalan?

Ini 4 aktiviti sampingan boleh dilakukan di sekitar Kuala Selangor. Hanya kira-kira 30 minit perjalanan dari Sekinchan:

Bergambar di Pantai Cermin

Lokasi merakam momen yang sangat unik. Perancangan awal perlu dilakukan. Ia bukan tempat yang boleh dikunjungi pada bila-bila masa.

Terletak kira-kira 40 minit dari Sekinchan selepas menaiki bot di jeti Kuala Selangor, kawasan tersebut hanya ‘muncul‘ dalam masa yang terhad ketika paras laut berada pada tahap rendah.

  • Alamat: Jeti Pekan Lama Kuala Selangor
  • Harga tiket: RM80 (dewasa) dan RM60 (kanak-kanak)

Merasai pengalaman eagle feeding

Alang-alang ke sana, ambillah peluang melihat eagle feeding. Sebaik sampai di sana, pemandu bot akan mencampakkan ketulan daging ayam ke dalam air sungai. Menarik juga melihat helang-helang tersebut menyambar hidangan petang mereka.

  • Alamat: Pasir Penambang, Kuala Selangor, Selangor
  • Harga tiket: RM30 (dewasa) dan RM20 (kanak-kanak)

Bermesra bersama sang kelip-kelip

Tidak lengkap percutian ke Kuala Selangor tanpa kelip-kelip. Pasti mengujakan melihat pokok-pokok di tebing sungai bercahaya seperti dipasang lampu diod pemancar cahaya.

  • Alamat: Sungai Selangor, Kg Kuantan, Selangor
  • Harga tiket: RM20 (dewasa) dan RM10 (kanak-kanak)

Meneroka pengembaraan Avatar ‘Blue Tears’

Air mata biru ini membawa 1,001 senyuman dengan lautan organisma bioluminescent yang digelar blue tears.

Fenomena itu turut digambarkan seperti Avatar dari perairan aurora kerana apabila ia ‘terganggu’ oleh gelombang, kunang-kunang laut itu akan memancarkan pendarfluor berwarna biru.

  • Alamat: Jeti Kuala Selangor, Selangor
  • Harga tiket: RM30 (dewasa) dan RM20 (kanak-kanak)

Iklan