Demam, batuk, selesema ringan boleh rawat sendiri di rumah

April 12, 2020
Oleh Farah Eliani

DEMAM, batuk dan selesema. Itu adalah antara sakit ringan yang lazim dialami oleh kebanyakan kita.

Jika kebiasaannya kita bebas ke klinik atau hospital untuk berjumpa doktor dan mendapatkan rawatan, namun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang, ramai berfikir dua kali sebelum ke sana.

Pastinya ia disebabkan khuatir dengan risiko dijangkiti wabak Covid-19 jika berada di luar rumah. Justeru, ikhtiar untuk sembuh sendiri dengan cepat pada peringkat awal amat penting sebelum melarat.

Bagaimanapun, bolehkah seseorang merawat dirinya sendiri apabila terkena tiga penyakit ringan tersebut?

Pegawai Perubatan Umum Hospital Seri Manjung, Perak, Dr Muhammad Syahir Mohamad Isa melontarkan pandangannya.

DR Syahir.

Tidak menafikan demam adalah antara penyakit ringan yang biasa, namun katanya, ia juga adalah tanda bahawa sesuatu yang luar biasa sedang berlaku di dalam tubuh manusia.

Dari sisi lain, demam, batuk dan selesema juga membuktikan bahawa sistem imunisasi seseorang masih bekerja dengan baik kerana mampu bertindak balas terhadap perubahan dalam badan.

“Demam biasanya tidak berbahaya melainkan jika suhunya mencapai 39.4 darjah Celsius atau lebih tinggi.

“Selalunya demam akan beransur-ansur pulih dalam beberapa hari. Ubat boleh merendahkan suhu panas demam, akan tetapi adakalanya ia tidak diperlukan,” jelas Dr Syahir.

Bagi si kecil, suhu yang sedikit tinggi mungkin memberi isyarat jangkitan yang serius. Namun begitu, secara umum tahap demam tidak semestinya menunjukkan betapa seriusnya keadaan.

Ujar beliau, bagi kebanyakan demam ringan, ia mampu dirawat di rumah dengan beberapa cara:

  1. Mandi

Rendam diri dalam tab penuh dengan air sejuk, ia mampu menurunkan suhu badan.

  1. Lapkan badan

Selain mandi, gunakan tuala kecil yang direndam dalam air sejuk sebelum dilapkan ke seluruh badan atau letakkannya di dahi untuk mengurangkan ketidakselesaan.

Iklan
  1. Menurunkan suhu bilik

Menurunkan suhu bilik membantu pesakit berasa lebih selesa dan merendahkan suhu panas badan.

  1. Keluarkan lapisan pakaian

Memakai lapisan pakaian yang tebal tidak digalakkan. Haba yang terperangkap menyebabkan demam berlarutan lebih lama. Pakai pakaian nipis atau hanya menggunakan selimut sepanjang tempoh seram sejuk.

  1. Kekal terhidrat

Minum air dengan kerap mampu membantu melawan penyakit di dalam badan terutamanya demam.

  1. Amalkan makan sup ayam

Ia adalah hidangan ringkas dan memberi manfaat yang tinggi dalam merawat simptom demam selesema.

Iklan

Penyakit ringan akibat alahan

Penyakit ringan biasanya akan sembuh dalam masa yang singkat dan tidak akan membawa kesan atau impak yang lama.

Penyakit ringan bermaksud simptom-simptom yang biasa seperti batuk, selesema, demam, sakit-sakit badan dan sakit kepala yang tidak berpanjangan.

Itu pula kata Pakar Perunding & Gastroenterologi, Hospital Pantai Klang, Dr Jaideep Singh.

DR Jaideep Singh.

“Penyakit ringan seperti demam dan batuk kebanyakannya berlaku disebabkan alahan akibat habuk daripada persekitaran atau jangkitan virus,” kata Dr Jaideep Singh.

Menyifatkan penyakit tersebut boleh dikawal dengan perhatian menyeluruh seperti menjaga kebersihan diri dan persekitaran rumah, mengamalkan pemakanan seimbang juga boleh membantu.

"Buka tingkap untuk pergerakan udara sangat membantu mengurangkan gejala penyakit-penyakit ringan,” jelasnya. Aspek rawatan secara alternatif yang melibatkan ubat-ubatan tradisional pula jangan dipandang mudah.

Katanya, itu berikutan ada ubat tersebut mengandungi steroid yang boleh merosakkan organ-organ dalaman sekiranya diambil dalam jangka masa yang panjang.

Dalam masa yang sama, menurut Dr Syahir, batuk dan selesema pada peringkat awal boleh dikawal dengan beberapa kaedah di bawah:

  1. Menggunakan semburan atau titisan normal saline
  2. Mengamalkan penyedut hingus buat anak kecil
  3. Minum air dengan cukup
  4. Menggunakan pelembap udara yang tidak mempunyai aroma

ANEKDOT

Kaedah penyembuhan penyakit bergejala ringan semasa PKP:

  1. Perlu ikhlas kepada diri sendiri. Ikut arahan jarak sosial demi kebaikan keluarga dan masyarakat.
  2. Duduk di rumah dan pastikan pengaliran udara yang nyaman serta amalkan disiplin diri. Ia penting bagi menangani wabak Covid-19.
  3. Kesihatan mental dalam kalangan anak-anak dan keluarga perlu dijaga kerana ia merupakan aspek yang harus dilindungi.

Sumber: Pakar Perunding & Gastroenterologi, Hospital Pantai Klang, Dr Jaideep Singh.