Di sebalik PKP: Nora Danish terharu khatam al-Quran

May 14, 2020
Oleh Izyan Liyana

TEPIS persepsi bahawa pelakon comel, Nora Danish aktif bermain TikTok sahaja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Siapa sangka pelakon utama siri Puteri tersebut turut memanfaatkan masa khususnya bulan Ramadan semasa PKP dengan mengaji al-Quran sehingga berjaya khatam pada sembilan malam terakhir bulan ini.

Iklan

Menerusi posting dalam laman sosial Instagram hari ini beliau menzahirkan kesyukuran pada Ilahi.

“Ya Allah , syukur alhamdullilah. Mengalir air mata kegembiraan kerana macam tak percaya dapat khatam pada sembilan malam terakhir Ramadan.

“Khatam al-Quran ini Nora ingin sedekahkan kepada arwah papa. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Terimalah Ya ALLAH bacaan hamba-Mu yg tidak sempurna ini,” coret beliau yang turut menyatakan akan khatam bersama ustazah atau ustaz apabila semua kembali pulih.

Iklan

NORA (kiri) selepas menunaikan solat tarawih bersama ibunya (kanan) dan keluarganya baru-baru ini.

Bicara Nora, bagi sesetengah individu khatam al-Quran mungkin mudah, tetapi tidak untuk beliau.

“Dengan jadual yang padat niat nak khatam bertahun-tahun tersekat. Sampailah PKP tergerak hati mencari semula digital pen al-Quran yang dihadiahkan oleh PU Hafiz buat Rayqal (anak sulung).

Iklan

“Mulanya saya nak ajar Rayqal mengaji dalam tempoh PKP bimbang lama berhenti mengaji dia lupa. Jadinya , saya pula berminat dengan pen digital itu lalu mula mengaji,” jelasnya yang bersyukur dengan aturan indah ALLAH.

NORA (kanan) bersama suami tercinta, Nedim Nazri yang sentiasa menjadi pemangkin untuk beliau khatam al-Quran.

Semangatnya untuk mengaji semakin berkobar-kobar apabila melihat pula pelakon Siti Elizad Sharifuddin yang berjaya khatam al-Quran semasa PKP.

“Diharapkan post Nora ini membuka niat kepada orang lain. InsyaALLAH bersama-sama kita kongsi benda yang baik.

“Pada mulanya satu muka surat nak habiskan rasa susah. Lama-kelamaan daripada lima menjadi 10, 20, 30 dan seterusnya mencecah 150 halaman satu hari.

“Sampai rasa tak sabar nak bangun tidur dan mengaji. Berkat doa selepas solat bersungguh-sungguh minta ALLAH berikan jalan mudah untuk mengaji,” luah beliau yang menyifatkan PKP memberikan hikmah manis tersendiri.

Iklan
Iklan