PELAKON Wan Sharmila mengakui terharu apabila mendapat tahu ibu saudaranya, Wan Maimunah memuji dan mengkagumi bakat lakonannya dalam diam.

Apatah lagi, dramatis popular yang cukup dikenali sebagai pelakon ‘air mata’ itu turut meluahkan hasratnya untuk tampil bergandingan dengan Wan Sharmila dalam sebuah karya hebat untuk dijadikan kenangan bersama.

“Saya terkejut dan terharu apabila dia memuji saya begitu dan menyimpan hasrat untuk bergandingan dengan saya.

“Memang dia ibu saudara saya, tetapi dalam industri seni, dia adalah seorang pelakon hebat dan berada di levelnya tersendiri, berbanding saya yang masih jauh berada di belakang.

“Apa pun, kata-katanya itu sangat bermakna buat diri saya. Semoga suatu hari nanti, ada peluang yang datang dan hasratnya itu menjadi kenyataan,” katanya kepada SinarPlus.

Menurut Wan Sharmila lagi, pada awal pembabitannya dalam industri, dia dan ibu saudaranya itu pernah tampil bersama dalam sebuah drama arahan Rashid Sibir.

“Saya dah lupa judul drama tersebut, tetapi ketika itu saya masih baru dalam industri dan hanya memegang watak pembantu.

“Sebelum itu saya hanya tengok dia berlakon di TV, tetapi apabila kami berlakon bersama dan berpeluang tengok aksi lakonannya depan mata, saya terpaku dengan kehebatan lakonannya.

“Balik rumah saya terus ceritakan pada ibu dan tidak habis-habis bercakap serta memuji tentang lakonannya.

“Setelah lama tidak bekerja sama, baru-baru ini kami dipertemukan dalam satu projek. Bukan drama, sebaliknya menjayakan sebuah kempen raya,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Sharmila yang kini sibuk di lokasi penggambaran drama terbarunya, 7 Hari Mencintaiku 2, mengakui tidak ramai yang mengetahui tentang hubungan persaudaraan mereka.

Iklan

“Tak ramai yang tahu dia adalah ibu saudara saya. Saya pun jarang bercakap mengenainya kerana lebih melihat dia sebagai pelakon hebat dalam industri.

“Pernah ada yang tanya saya tak teringin ke nak bergandingan dengan dia. Hakikatnya saya tak berani nak kata ‘ya’ kerana sedar kami tak sama level dan selalu fikir nak ke dia berlakon dengan saya?

“Apa pun, saya selalu berharap agar mendapat tawaran yang menampilkan saya dengan karakter yang berbeza.

Iklan

“Walaupun sentiasa cuba memberikan yang terbaik dalam lakonan. Namun saya percaya kepelbagaian watak itu penting untuk seseorang pelakon lebih menggali bakat lakonannya,” katanya yang sudah lebih sedekad bergelar pelakon.

 

(FOTO: Instagram Wan Sharmila)