BEKAS peserta program realiti Akademi Fantasia 4 (AF4), Diddy Hirdy, menzahirkan pujian pada sistem perubatan di Malaysia.

Beliau yang kini melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Liverpool, United Kingdom (UK) menyifatkan bahawa rakyat harus bersyukur kerana khidmat perubatan kesihatan di negara ini masih berfungsi dengan baik.

Bercerita situasi berdepan pandemik di negara asing, Diddy atau nama sebenarnya, Syamsul Hirdi Muhid memberitahu, di UK individu yang mempunyai simptom penuh ataupun mengalami kondisi teruk barulah boleh menghubungi talian kendalian kes Covid-19.

“Kat sini (di UK) kena call nombor untuk kes Covid-19, tetapi perlu ada simptom penuh atau dah teruk barulah ambulans datang memberikan bantuan. Pun begitu, belum tentu akan dibawa terus ke hospital.

“Kita sendiri tak boleh pergi hospital dan kemudahan untuk mendapatkan ujian saringan tiada melainkan sudah sakit teruk. Oleh itu, rakyat Malaysia patut bersyukur sistem perubatan kita masih lagi mampu berfungsi dengan baik setakat ini,” luah beliau menerusi laman sosial Instagram peribadi, @diddyhirdy.

Justeru, memahami situasi sedemikian, maka beliau yang ditemani isteri dan dua cahaya mata di sana berusaha menjaga kesihatan sebaik mungkin walaupun hati berasa gundah mengenang nasib di negara orang.

diddy
DIDDY (kiri) ditemani isteri dan dua anaknya sepanjang tempoh beliau melanjutkan pengajian peringkat Phd di Universiti Liverpool, UK.  Foto: Instagram @@diddyhirdy. 

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan setakat ini di UK telah mencatatkan sebanyak 17,089 kes positif Covid-19 manakala jumlah kematian pula mencecah sebanyak 1,019 kes.

“Kami duduk di rumah mengikut perintah pihak kerajaan. Keluar pun seorang, kalau ada urusan penting atau nak beli makanan. Nasib baik kedai runcit yang jual barang basah terletak di seberang jalan.

Iklan

“Tapi, apabila keluar dah macam ghost town (bandar berhantu). Sunyi sepi. Setiap kali pulang ke rumah selepas keluar mesti akan rasa nak demam walaupun Diddy lazimnya balik terus masuk bilik air dan mandi,” jelasnya lanjut.

Tutur Diddy, sebelum ini beliau pernah mengalami thumping headache selama seminggu. Kemudian, disusuli pula masalah pernafasan sederhana.

Iklan

Jika berasa kondisi badan kurang baik, maka beliau dan keluarga akan segera telan ubat, mandi, makan gula-gula meredakan kesakitan tekak ataupun kumur air garam.

“Terima kasih kepada yang bertanya khabar Diddy sekeluarga disini,” ucapnya ringkas.