MEMANG banyak hotel unik dan menarik di dunia ini. Kat Malaysia saja pun banyak pilihan menarik sampai kita tak tahu dan tak berkesempatan nak pergi.

Begitupun, jika di peringkat antarabangsa, hotel apa dan di manakah yang terbaik?

Bukan sahaja mempunyai lokasi pelancongan yang membanggakan, hotel di Indonesia juga diakui sebagai satu tarikan bagi semua pelancong-pelancong.

Baru-baru ini, salah satu hotel di Bali iaitu Hotel Capella Ubud telah dinobatkan hotel yang terbaik di dunia tahun ini dalam senarai tahunan yang berprestij Anugerah Terbaik di Dunia versi majalah pelancongan Travel + Leisure.

Pengurusnya, Nicholas M Clayton berkongsi, pihaknya sangat berbesar hati untuk menerima pengiktirafan yang luar biasa berkenaan kerana ia jelas mencerminkan semangat dan perhatian untuk mewujudkan setiap destinasi Capella yang paling dikenang.

Pada masa yang sama, pihaknya akan sentiasa memastikan penginapan yang sempurna disediakan dalam meraikan pengalaman berkomuniti dan keunikan budaya di sana.

PENGHARGAAN itu diberikan setelah melalui proses menilai faktor-faktor bilik, kemudahan, lokasi, perkhidmatan dan juga makanan.

Capella Ubud telah berjaya mengungguli banyak hotel lain yang tidak kurang cantik dan mewah.

Antaranya:

  • Hotel Amparo di Mexico (tempat kedua).

  • Fogo Island Inn di Kanada (kedudukan ketiga).

  • The Ritz-Carlton di Bali (kedudukan keempat).

  • Waldorf Astoria Maldives Ithaafushi di Maldives (tempat kelima).

Iklan

Terletak di Kabupaten Tegalalang, hotel berkenaan mempunyai lima jenis bilik yang berada di tengah-tengah pokok iaitu khemah teres, hutan hujan, sungai, lembah keliki dan The Lodge. Ia direka oleh arkitek Bill Bensley setelah terinspirasi oleh penempatan Eropah awal pada tahun 1800-an.

Semua bilik di sana dilengkapi dengan kolam jakuzi yang menghadap terus ke hutan dan sawah. The Lodge merupakan bilik yang paling mewah dan juga dilengkapi dengan kolam renang.

Pengalaman dari dalam bilik pula, para tetamu dapat mendengar kicauan burung dan melihat pepohon di hutan secara langsung. Bilik-bilik di Capella Ubud juga dihiasi dengan nuansa Indonesia seperti pintu-pintu yang diukir dengan rapi dan kemas.

Iklan

Keselesaan dan kemewahan yang tersedia di Capella Ubud dapat dinikmati oleh para tetamu dengan hanya membelanjakan sekitar RM346 untuk satu malam sahaja.

Sebagai tanda penghargaan kepada semua pengunjung, Capella Hotels and Resorts telah melancarkan tawaran ‘Dream Now, Travel Later’ di semua lokasi hotel yang tersedia. Pakej masa terhad memberikan harga eksklusif untuk para tetamu untuk merasai ‘falsafah’ Capella ketika merehatkan diri di sana. Menarik!