MESKIPUN sering dianggap sebagai pelik dan hidup dalam dunianya sendiri, penyanyi dan komposer muda, Yonnyboii, kini lebih positif dengan apa yang dilakukan.

Yonny atau nama sebenarnya Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 22, mengakui menjadikan muzik sebagai terapi untuknya mengatasi tekanan yang sering membelenggu dirinya selama ini.

Malah kebanyakan lagu ciptaan Yonny menceritakan pengalaman benar dalam hidupnya sendiri.

“Sebenarnya orang yang tidak tahu, saya mengidap penyakit Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD) atau Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif.

“Saya kadang-kala bertindak di luar kawalan diri dan boleh menjadi hiperaktif secara tiba-tiba. Situasi itu membuatkan orang anggap saya sebagai budak pelik.

“Disebabkan itu saya juga pernah dituduh macam-macam termasuk menggunakan pil kuda, sedangkan saya tidak pernah terlibat dengan semua itu,” jelas Yonny.

Tambahnya lagi disebabkan itu, dia lebih suka berdiam diri dan menjadi seorang anti sosial kerana mahu mengelakkan diri daripada berdepan situasi yang sama.

“Sekarang saya dah tak ambil kisah apa yang orang cakap kerana saya sendiri mengenali diri saya.

“Apa yang penting saya mahu terus berkarya dan menyampaikan mesej-mesej positif dalam lagu saya,” katanya.

Yonny yang ditemui ketika pelancaran pelancaran single duet Kelabu bersama Azlan Typewriter di Universal Music Malaysia, Menara Symphony, Petaling Jaya pada Isnin, turut  mendedahkan pernah menjadi mangsa buli semenjak kecil lagi.

Iklan

Berkongsi pengalaman tersebut menerusi single Kelabu, kata Yonny, dia mengharapkan agar mesej yang diketengahkan itu sampai kepada masyarakat.

“Single Kelabu memaparkan tentang isu buli yang pernah dilalui oleh saya sendiri.

“Kalau ikutkan semenjak kecil lagi saya sering menjadi mangsa buli dan ia memberi kesan besar dalam kehidupan saya.

Iklan

“Jadi saya perkongsian dalam lagu ini sedikit sebanyak dapat memberi kesedaran kepada masyarakat di luar sana tentang kesan sebenar masalah buli,” katanya.

 

(FOTO: Universal Music)