Duet BBNU, Azlan Typewriter tetap selektif

July 2, 2020
Oleh Wawann Mohd

BERPEGANG kepada konsep keterbukaan dan percaya bahawa muzik itu bersifat universal, Azlan Typewriter mengambil peluang untuk mencuba sesuatu yang baharu menerusi gandingannya bersama penyanyi BBNU, Yonnyboii.

Bersandarkan single ciptaan Yonnyboii sendiri berjudul Kelabu, Azlan, 38, mengharapkan percubaan itu mendatangkan hasil positif, apatah lagi ia merupakan gabungan artis dua generasi dengan genre muzik berbeza.

“Kami mempunyai hala tuju muzik berbeza, di mana saya lebih kepada rock dan Yonny pula terarah kepada R&B.

“Saya mengambil masa hampir enam bulan sebelum menyatakan persetujuan untuk menerima tawaran ini, malah saya juga mendengar lagu Kelabu berulang kali untuk memahami dan mencari kekuatan lagu ini.

“Ternyata lirik lagu ciptaan Yonny memikat hati saya, selain nilai komersial yang ada pada lagu-lagu generasi masa kini yang mudah diterima ramai.

“Bagi saya Yonny seorang yang unik dengan karyanya dan sangat peka kepada bunyi baharu yang moden di mana eksperimentasinya sangat berjaya,” katanya.

Lagu Kelabu yang pernah tular sekitar Oktober tahun lalu selepas demo yang dinyanyikan sendiri oleh Yonnyboii bocor di laman maya itu disusun semula muziknya oleh Azlan untuk disesuaikan dengan vokal mereka.

Kelabu memperlihatkan sisi berbeza vokal saya. Kalau lagu-lagu sebelum ini, saya lebih dikenali dengan lagu bernada tinggi, kali ini sedikit berbeza.

“Saya menghormati karya Yonny dan memberi apa yang diperlukan dalam muzik yang diketengahkan,” akuinya.

Iklan

Azlan yang ditemui ketika pelancaran single Kelabu yang diadakan di Universal Music Malaysia di Menara Symphony, Petaling Jaya baru-baru ini, tidak menafikan dia seorang yang cukup selektif dalam dalam urusan kerjaya seninya.

“Saya memang sangat selektif dengan siapa saya nak bekerja supaya kualiti dan reputasi tidak tercalar dengan hal-hal yang tidak sepatutnya.

“Bagaimanapun saya juga seorang yang suka memberi peluang. Walaupun saya penyanyi senior, saya tidak ada masalah untuk bergandingan dengan penyanyi generasi baharu asalkan bersesuaian dengan karya yang ditampilkan.

Iklan

“Biarpun berbeza generasi, kita saling belajar tentang muzik masing-masing dan seiringan menaikkan industri muzik kita ke peringkat lebih tinggi,” ujar Azlan.

Berkongsi tentang perkembangan kerjaya seninya selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Azlan berkata, aktiviti muziknya tidak pernah terhenti dan sentiasa mencari karya baharu untuk diketengahkan kepada umum.

“Sepanjang PKP saya masih aktif buat muzik biarpun hanya di rumah. Malah lagu Kelabu juga dirakamkan dalam tempoh itu.

“Meskipun suasana industri sedikit berubah impak daripada krisis Covid-19, kami dalam bidang muzik akan cuba menyesuaikan diri.

“Sebenarnya PKP banyak mendorong kita untuk lebih cepat beralih kepada dunia digital untuk terus tampil berkarya.

“Mungkin kita boleh adakan konsert atau showcase secara online dan mencari pendekatan baharu untuk membuat persembahan live kepada penonton,” katanya.

 

(FOTO: Universal Music Malaysia)

About Wawann Mohd

Biodata Penulis