Durian Ecolodge lokasi tarikan raja buah, boleh tidur dalam dusun

Durian Ecolodge tawar pengalaman tidur dalam dusun
September 1, 2020
Faizul Hakimi

RASA cinta kepada tanaman kerana dibesarkan dalam keluarga yang mengusahakan perniagaan nurseri sejak 40 tahun lepas, mendorong Bong Choong Wei, membuka Durian Ecolodge di Kampung Pondoi, Tampin, Negeri Sembilan.

Keistimewaan Durian Ecolodge yang diusahakan di atas tanah seluas empat hektar itu ialah ia bukan sahaja kawasan dusun yang dipenuhi dengan tanaman buah-buahan tempatan terutamanya durian, tetapi turut dilengkapi dengan 20 jenis penginapan berkonsepkan karavan dan rumah penginapan.

Durian Ecolodge tawar pengalaman tidur dalam dusun

Memetik laopran portal media tempatan, Bong berkata, penginapan itu disediakan bagi membolehkan pengunjung beristirahat dan menikmati suasana indah di kawasan dusun sambil menikmati buah-buahan segar pada harga yang lebih murah.

Terletak kira-kira 22 kilometer dari Plaza Tol Simpang Ampat dan bersempadan dengan Melaka, Bong berhasrat menjadikan Durian Ecolodge sebagai satu daripada lokasi tarikan pelancong bagi sektor agropelancongan baharu di Negeri Sembilan.

“Pada hujung tahun 2018, saya mula mencari tapak yang bersesuaian untuk buka satu kawasan yang bukan sahaja terdapat dusun tetapi ada kebun buah dan penginapan bagi orang ramai termasuk pelancong dalam dan luar negara menikmati buah-buahan tempatan khususnya raja buah yang segar dari dusun di samping menginap dalam dusun dengan suasana yang lebih selesa,” katanya.

Bong berkata, pokok buah-buahan selain durian iaitu mangga, manggis, mata kucing, markisa, belimbing, betik, dokong, nanas dan kelapa pandan mula ditanam pada awal tahun 2019 dan kini pokok-pokok itu membuahkan hasil dan sedia untuk dinikmati para pengunjung.

Durian Ecolodge tawar pengalaman tidur dalam dusun

Tambahnya lagi, terdapat 390 pokok durian di dusun itu sehingga kini antaranya Musang King, D24, durian susu dan durian kampung.

“Harga penginapan bermula dari RM250 hingga RM400 satu malam, pengunjung yang bermalam di sini akan menikmati buah-buahan pada harga lebih murah berbanding mereka yang datang hanya untuk menikmati buah-buahan yang ada di sini,” katanya.

Bong berkata, hamparan pemandangan indah dikelilingi kawasan berbukit di Durian Ecolodge menjadi daya penarik untuk pengunjung datang ke sini bukan sahaja untuk beristirahat dan makan buah-buahan, bahkan mereka juga berpeluang mendalami ilmu menanam dan menjaga pokok durian dengan betul bagi mendapatkan hasil yang berkualiti.

Durian Ecolodge tawar pengalaman tidur dalam dusun

“Saya dapat kerjasama daripada Jabatan Pertanian mukim Tampin dan Jabatan Pertanian Negeri Sembilan yang memberi sokongan padu apabila saya kata mahu promosi tempat ini sebagai lokasi tumpuan untuk sektor agropelancongan.

“Saya juga merancang untuk menyediakan pakej iaitu pengunjung yang menginap akan dibawa melawat ke ladang cendawan, nangka dan kawasan sawah padi yang terletak kira-kira 15 hingga 20 kilometer dari Durian Ecolodge,” katanya.

Bong juga turut berkongsi yang mana dunia tanaman ini memerlukan kesabaran tinggi kerana cabaran seperti tanaman tidak menjadi atau rosak sememangnya akan melunturkan semangat dan akhirnya terpaksa gulung tikar, justeru ilmu dan pengalaman amat penting dalam mengusahakan sesuatu perniagaan.

About Faizul Hakimi