Elfira Loy akur ujian Ramadan dalam PKP

April 27, 2020
Oleh Wawann Mohd

PELAKON Elfira Loy akur untuk menyambut Ramadan pada tahun ini dengan cara berbeza dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 12 Mei depan.

Biarpun merindui rutin yang sering dilakukan pada Ramadan terdahulu, pemilik nama sebenar Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 26, berlapang dada mengharungi ujian yang datang akibat penularan pandemik Koronavirus (Covid-19) yang kini menjadi krisis seluruh dunia.


“Jika Ramadan tahun lalu saya menyambutnya dengan keadaan berbadan dua dan kerterbatasan itu dan ini, nikmat bulan penuh keberkatan itu tidak begitu dirasai.

“Jadi saya memang menantikan Ramadan kali ini. Bagaimanapun, siapa menyangka kita didatangi ujian ini. Pastinya terasa kerinduan kepada perkara yang sinonim dengan bukan Ramadan seperti bazar dan solat Terawih.

“Tak mengapa kita tak perlu bersedih sangat, sebaliknya kita raikannya dengan cara bersederhana,” katanya.

Iklan

Kerjasama dengan Buttonscarves

Dalam pada itu, Elfira Loy yang turut dikenali di Indonesia baru-baru ini mencipta sejarah tersendiri apabila disunting untuk bekerjasama dengan jenama tudung popular, Buttonscarves yang berpangkalan di sana.

Malah lebih tepat, artis bertudung yang memiliki seramai 4.8 juta pengikut di Instagram itu menjadi artis Malaysia pertama bersatu dengan jenama yang turut sukses di pasaran Asia Tenggara seperti Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, selain Amerika Syarikat.

Iklan

Menurut Elfira, sebagai permulaan Buttonscarves x Elfira Loy hadir dengan sebuah koleksi istimewa dipanggil The Maharani Series yang sesuai digayakan pada bulan Ramadan dan Syawal kelak.

Koleksi yang memiliki 13 warna dengan motif dengan mengangkat elemen senibina di India itu dilancarkan di Indonesia semalam iaitu pada hari pertama bulan Ramadan.

“Pada awalnya kerjasama itu mahu dimulakan selepas musim raya. Namun tanpa diduga ia dipercepatkan.

“Buat permulaan kerjasama ini berlangsung untuk dua bulan bermula April hingga Mei. Insya-ALLAH jika tiada aral melintang, kerjasama ini akan berpanjangan,” katanya.

Ibu kepada Muhammad Rayyan Khalaf berusia enam bulan itu berkata, kerjasama itu bermula daripada perbualan di kotak mesej langsung (DM) di Instagram.

“Saya sejak dua ketiga tahun lalu juga sebenarnya menjadi peminat secara diam kepada jenama ini. Kalau terbang ke Jakarta, saya akan membeli skaf dan tudung jenama berkenaan kerana materialnya cukup selesa dan kemas.

“Pada masa sama, saya dapat tahu mereka juga mengintai untuk bekerjasama dengan artis Malaysia. Difahamkan ada beberapa calon lain, tapi rezeki berpihak kepada saya. Saya juga anggap ini rezeki anak sulung

“Sesuai dengan nama koleksi ini, saya yakin mereka yang memakainya akan berasa seperti seorang ratu atau maharani,” ujar Elfira.

Kata Elfira, jenama The Maharani Series itu boleh dibeli di laman sesawang, www.buttonscarves.com dan menerusi aplikasi Buttonscarves.

Iklan

About Wawann Mohd

Biodata Penulis