PELAKON dan penyanyi Erra Fazira mengambil pendekatan untuk tidak mencampuri urusan rumah tangga bekas suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin dan aktres kelahiran Indonesia, Laudya Cynthia Bella.

Mengulas berkenaan perceraian pasangan tersebut, pemilik nama sebenar Fazira Wan Chik, 46, mendedahkan tahu tentang pergolakan yang berlaku dari awal, namun ia hanya secara dasar dan tidak mendalam.

Bagi bintang Sembilu itu, meskipun ia melibatkan bekas suami dan bapa kepada anaknya, dia tidak merasa ada keperluan untuk masuk campur.

“Kalau mereka tidak buka mulut, apatah lagi saya. Tipulah kalau saya kata tidak tahu mengenai pergolakan yang berlaku, sedikit sebanyak memang saya tahu tetapi tidaklah secara mendalam.

“Kalau boleh tidak mahu tahu pun, apatah lagi nak ‘korek’ cerita mereka,” ujar Erra yang ditemui ketika majlis pelantikan dirinya sebagai duta produk penjagaan rambut  Faith Fleur di Menara Kuala Lumpur, pada Isnin. .

Bagaimanapun, kata Erra, dia dan Laudya Cynthia Bella atau lebih mesra disapa dengan penggilan Bella itu pernah berkongsi cerita tentang kehidupan mereka, tetapi hanyalah secara umum sahaja.

“Sebagai wanita, kami banyak berkongsi tentang hal-hal wanita dan perkara yang umum.

“Adalah juga bagi nasihat dan sebagainya, tapi tidak secara mendalam kerana Bella sendiri juga tidak pernah bercerita lebih.

“Kami rapat tetapi tidaklah selalu berhubung. Kalau adapun selalunya menerusi mesej dan berkenaan urusan anak,” katanya.

Erra dan Aleesya bersama Bella.

Dalam pada itu, Erra mengakui anak tunggalnya, Engku Aleesya, 11, berasa sedih dengan  perpisahan tersebut.

“Saya dapat rasa dia sedih dengan apa yang berlaku kerana dia sendiri pun dah sayang pada Bella. Saya pasti, bekas suami pun sedih, tetapi nak buat macamana.

“Berbanding saya, Aleesya lebih tahu pergolakan yang berlaku kerana dia lebih dekat dan berada dalam situasi itu. Cuma saya tidak pernah bertanya kenapa macam itu  atau kenapa macam ini.

“Saya tanak korek apa-apa cerita kerana itu bukan cara saya,” jelas pelantun lagu Yang Terindah Hanya Sementara itu lagi.

Iklan

Pada 1 Julai lalu, Bella, 32, mendedahkan perkahwinannya bersama Engku Emran, 45, telahpun berakhir  dan mereka memilih untuk berpisah secara baik.

Akui Erra, dia dan Bella ada berhubung selepas perpisahan tersebut terjadi, malah sebagai wanita  dia memahami keadaan itu.

“Saya rasa tidak ada sesiapapun yang inginkan perceraian. Dia (Bella) tak nak dan saya pasti bekas suami juga tak nak perkara ini terjadi.

“Bukan mereka tidak cuba untuk selamatkan perkahwinan, tetapi inilah ketentuannya,” ujarnya.

Iklan

Menganggap apa yang berlaku itu sebagai ujian dari ALLAH, Erra turut menitipkan nasihat dan kata semangat buat bintang filem Surga Yang Tak Dirindukan itu.

“Dalam setiap pahit itu, pasti ada hikmah dan manisnya. ALLAH uji kita kerana Allah sayangkan kita dan pasti ada ganjarannya nanti,” ucap Erra.

Bella dan Engku emran mendirikan rumah tangga pada 8 September 2017 dan tidak dikurniakan cahaya mata.

Manakala Engku Emran menerusi perkahwinan terdahulu bersama Erra Fazira memiliki seorang anak perempuan, Engku Aleesya.