HAMPIR sedekad berada dalam industri seni, pelakon Eyka Farhana semakin rancak merencana kerjaya, sekali gus mengembangkan bakatnya ke pasaran yang lebih luas.

Penampilannya menerusi siri popular, Pretty Little Liars versi adaptasi Asia terbitan produksi Indonesia di saluran Viu baru-baru ini ternyata membuka jalan buat Eyka atau nama sebenarnya Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi, 25, untuk mengintai peluang baharu.

“Ini merupakan kali pertama saya terlibat dengan produksi luar dan hasil lakonan saya ditayangkan di enam buah negara Asia termasuk Malaysia.

“Peluang yang tidak disangka datang dan saya cuba memberikan yang terbaik agar projek ini menjadi pembuka jalan kepada saya untuk mengembangkan bakat ke luar Malaysia.

“Alhamdulillah selepas siri ini ditayangkan kepada umum bulan lalu, ia mendapat maklum balas yang cukup baik termasuk daripada penonton sehingga ramai yang mahukan penghasilan untuk siri kedua pula,” katanya.

Berkongsi pengalaman bekerja di bawah arahan pengarah Indonesia, Emil Heradi itu, kata Eyka, biar pun banyak cabaran dilalui, dia teruja kerana berpeluang untuk belajar ilmu baharu dalam lakonan.

“Penggambaran siri ini dilakukan di Bali, Indonesia selama 49 hari hujung tahun lalu. Cabaran utamanya apabila saya perlu mempelajari bahasa Indonesia dalam masa yang singkat sebelum memulakan penggambaran.

“Dari segi lakonan dan cara bekerja tidak menjadi masalah kerana masing-masing profesional dan saling membantu sepanjang penggambaran berjalan, walaupun pada awalnya saya risau dengan kemampuan diri sendiri.

Iklan

“Pengalaman baharu yang cukup menyeronokkan dan saya berharap mendapat lebih peluang untuk bekerjasama lagi dengan produksi luar untuk menimba pengalaman,” katanya yang menjadi satu-satunya pelakon dari Malaysia yang terlibat dalam siri tersebut.

Ditanya adakah dia bersedia untuk berhijrah ke Indonesia jika mendapat tawaran  membina kerjaya lakonan di sana, Eyka pantas mengiyakan.

“Selepas siri tersebut ditayangkan, saya terkejut apabila Instagram saya diikuti ramai peminat dari Indonesia dan mengharapkan saya berlakon lagi dengan produksi di sana.

“Kalau peluang itu datang kena pada masa dan bersesuaian dengan saya, mengapa tidak saya beranikan diri untuk mencuba nasib.

Iklan

“Tidak ada masalah berjauhan dengan keluarga kerana Malaysia dan Indonesia bukanlah jauh sangat,” katanya.

Dalam pada itu, Eyka yang mula bergelar pelakon pada usia 15 tahun itu, mengakui sehingga kini masih dibayangi dengan watak remaja menjadikan lakonannya agak terhad.

“Mungkin kerana orang kenal saya sebagai pelakon masa saya sekolah, dan bentuk badan saya yang kecil ini menyebabkan saya banyak mendapat tawaran untuk menjayakan watak sebagai budak sekolah.

“Susah nak lari daripada bayangan itu sehingga ada ketikanya saya berada dalam dilema untuk terus menerima atau menolak tawaran sedemikian.

“Apa pun mujurlah sejak akhir-akhir ini ada beberapa tawaran yang membawa saya keluar daripada ‘imej’ budak sekolah,” katanya yang kini sibuk di lokasi penggambaran drama Sweet Hannan.

 

(FOTO: Instagram Eyka Farhana)