SELEPAS pertama kali tampil berkolaboratif menerusi lagu Gelora Rindu yang turut menjadi lagu runut bunyi drama Ombak Rindu The Series sebelum ini, penyanyi Ezad lazim dan Idayu kembali dengan duet terbaharu mereka, Sampai Syurga.

Keserasian vokal kedua-dua penyanyi itu menyaksikan karya ciptaan Ayden Ali, Firdaus Rahmat dan Mas Dewangga serta lirik tulisan Arisz Ab Rahman dan D’Hasniza Nordin itu berjaya mencuri perhatian ramai.

Sampai Syurga juga merupakan lagu runut bunyi drama 30 episod, Korban Kasih yang kini sedang hangat ditayangkan di TV1 sepanjang Ramadan.

Bagi Ezad Lazim yang juga bekas vokalis kumpulan Exists, peluang berpadu suara sekali lagi bersama Idayu atas permintaan syarikat rakamannya, Nova Music merupakan peluang yang tidak harus dilepaskan.

“Menerusi duet terdahulu, saya percaya pihak syarikat rakaman sudah nampak keserasian vokal kami berdua, lalu mencadangkan gandingan ini diteruskan untuk karya terbaharu.

Sampai Syurga mempunyai kelebihan tersendiri terutama genre dan susunan muzik.

“Jika lagu sebelum ini lebih melankolik dan lembut, duet kali ini lebih kepada genre pop balada selain penghayatannya yang lebih dinamik,” katanya yang menjalani rakaman pada awal Mac lalu.

Menyentuh tentang gandingan kali keduanya bersama Idayu, kata Ezad, dia cukup mengkagumi bakat dimiliki penyanyi kelahiran program Akademi Fantasia musim ketiga itu.

“Kelebihan yang Idayu ada turut dimanfaatkan dengan baik apabila dia berkongsi ilmu sebagai guru vokal.

“Dia memiliki suara yang unik dan arif dalam teknik nyanyian bersiul di mana kelebihan itu tidak ada pada mana-mana penyanyi lain di negara ini,” ujar Ezad.

Tuah lagu tema drama Korban Kasih

Sementara itu, Idayu pula meluahkan rasa syukur apabila lagu duet terbaharu mereka sekali lagi menjadi pilihan penerbit drama untuk dijadikan lagu runut bunyi.

“Apabila sesebuah lagu menjadi lagu tema sesebuah naskhah cerita, ia memberi kelebihan dari sudut promosi untuk memperkenalkan karya tersebut kepada pendengar.

Iklan

Sampai Syurga mempunyai keistimewaan yang tersendiri dan berbeza dengan duet terdahulu terutama dari aspek muzikalnya. Sebuah lagu balada moden dengan susunan muzik yang berskala besar,” katanya.

Tambah Idayu lagi, keserasian vokal dan sikap profesional Ezad juga menjadikan proses rakaman lagu tersebut berjalan lancar.

“Walaupun Ezad lebih senior berbanding saya, dia sentiasa terbuka menerima pendapat dan bertukar idea.

“Kami banyak berbincang sewaktu proses rakaman demi memastikan lagu ini memberikan hasil yang terbaik,” katanya yang merupakan juara program AF Mega 2017.

Iklan

Single Sampai Syurga merupakan karya terbitan Nova Music (M) Sdn Bhd dan kini boleh distrim di semua pelantar muzik digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KK Box dan Deezer mulai 24 April lalu.

Manakala video lirik rasmi pula boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos.

 

(FOTO: Nova Music)