DALAM keadaan dunia yang ditekan dengan ujian penyebaran pandemic Koronavirus (Covid-19), penyanyi Faizal Tahir tidak melihat ia sebagai halangan untuk tampil dengan single terbaharu.

Lagu berjudul Sumandak itu merupakan karya ciptaan Faizal bersama Mike Chan, Mage, Ja’a dan Karim Karam dan diterbitkan oleh Faithful Music dengan kerjasama Warner Music Malaysia sebagai pengedar.

Menurut Faizal, dia mahu sentiasa menampilkan kelainan dalam setiap karya yang dihasilkan.

“Dalam keadaan kita yang tertekan sekarang ini, saya cuma ingin memberikan sesuatu yang lebih ringan’ dan positif kepada pendengar.

“Menerusi lirik yang berunsur humor, melodi yang catchy dan gaya penyampaian yang bersahaja, saya mahu menampilkan kelainan dalam lagu ini,” kata Faizal.

Menariknya, Faizal Tahir tampil dengan pendekatannya sendiri untuk melibatkan para peminatnya dalam muzik video lagu tersebut.

Iklan

Biarpun ketika ini masih dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia tidak menjadi halangan kerana video tersebut dilakukan dari rumah masing-masing.

Menerusi laman sosial miliknya, Faizal memuatnaik sebuah video mengajak para peminatnya menghantar video mereka melakukan aktiviti di rumah bersama keluarga untuk dikumpul dan dijadikan sebagai video muzik Sumandak.

Iklan

Pelawaan tersebut telah mendapat sambutan yang sangat baik menerusi penyertaan yang diterima melibatkan keluarga, individu dan rakan sekerja dari pelbagai kaum dan peringkat umur.

Video muzik tersebut kini boleh ditonton di saluran YouTube Faizal Tahir, manakala single Sumandak boleh didapati di semua pelantar muzik digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox, Deezer dan juga iTunes.