KEJAYAAN lagu Bertakhta Di Hati telah melonjakkan nama penyanyi, Farahdhiya ke puncak populariti dan menjadi lagu berhantu penyanyi itu.

Selepas sekian lama tidak muncul dengan single terbaharu, Farah, 36, atau nama sebenarnya Farahdhiya Mohd Amin kembali mempertaruhkan nasib untuk single terbaharu, Tegar.

Lebih mengujakan Farah apabila lagu itu mendapat sentuhan emas duo komposer yang kian meningkat naik iaitu Farouk Roman dan Amylea Azizan.

Akui Farah, dia sudah lama menunggu lagu bergenre balada yang bagus sekali gus menepati cita rasa peminat muzik tanah air masa kini.

“Seronok dapat rakam lagu balada untuk single terbaharu sebab peminat sentiasa bertanya bila saya nak rakam lagu balada. Alhamdulillah, dapat lagu bagus dan ‘best‘. Saya akui teruja dan berharap untuk yang terbaik.

FARAHDHIYA
Farahdhiya sifatkan Tegar sebagai satu impian yang menjadi kenyataan.

“Lagi pula, peminat sudah lama tunggu lagu balada daripada saya sebab mereka ingat saya daripada lagu Bertakhta Di Hati. Jadi mereka mahu lagu balada yang bagus daripada saya. Harapnya, lagu ini boleh berjaya.

Iklan

“Rezeki saya juga apabila dapat bekerjasama dengan Farouk dan Amylea yang mana kita tahu mereka memang tengah ‘in‘. Saya sangat gembira dan bangga dapat bekerja dengan mereka,” katanya.

Menariknya, Tegar juga dipilih menjadi antara lagu tema bagi drama Dendam Cinta Arissa yang mula ditayangkan sejak 9 Mac lalu, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam di slot DramaVaganza di saluran Astro Ria.

Iklan

Lirik video rasmi lagu dilancarkan secara rasmi bermula 13 Mac lalu di saluran YouTube Seventeen Eleven Music.

Serentak dengan itu, lagu terbitan Seventeen Eleven Music ini juga boleh distrim dan dilanggan di semua platform digital muzik.