GARA-GARA menggunakan kekerasan jenayah dan mengeluarkan perkataan tidak sopan terhadap seorang anggota polis dengan niat untuk menghalangnya melakukan tugas dua tahun lalu, pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari dijatuhi hukuman penjara 13 bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini.

Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman penjara 13 bulan terhadap Farid Kamil, 39, bagi kesalahan menggunakan kekerasan jenayah dan penjara empat bulan bagi pertuduhan mengeluarkan perkataan tidak sopan.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak bermula hari ini dan mengarahkan tertuduh menjalani hukuman itu secara berasingan dengan hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan terhadapnya sebelum ini bagi kesalahan menggunakan dadah jenis ganja THC atau Tetra Hydrocannibol.

Nor Ariffin menjatuhkan hukuman terhadap pelakon filem Tombiruo: Penunggu Rimba itu selepas mendapati  pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

“Selepas meneliti dan menilai keterangan dikemukakan pihak pembelaan, mahkamah juga melihat secara keseluruhan dan membaca hujahan pendakwaan dan pembelaan.

“Oleh itu, mahkamah mendapati Farid Kamil bersalah dan dihukum penjara 13 bulan bagi kesalahan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan penjara empat bulan bagi Seksyen 90 Akta Polis dan kedua-dua hukuman tersebut berjalan serentak,” katanya.

Kronologi kes Farid Kamil

21 Jun 2018 – Mahkamah Majistret Petaling Jaya memerintahkan suami kepada pelakon Datin Diana Danielle itu membela diri atas empat pertuduhan termasuk menampar anggota polis trafik dan orang awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara pada 2018.

16 Januari 2018 – Farid Kamil mengaku tidak bersalah di atas dua pertuduhan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Ashraf Ahmad, 36 dan Konstabel Mohd Nizam Jamaluddin, 25.

Iklan

Farid Kamil juga didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap Mohd Nizam dengan niat menghalangnya melakukan tugas.

Untuk pertuduhan keempat, Farid turut didakwa berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan tidak sopan terhadap Mohd Nizam sehingga boleh mendatangkan kemarahan.

Aktor itu didakwa melakukan kedua-dua kesalahan terhadap Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin di Pejabat Pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara di sini pada 1.20 tengah hari, 11 Jan 2018.

Iklan

Terdahulu, Farid Kamil telah pun menjalani beberapa bulan hukuman penjara selepas didapati melakukan kesalahan berkaitan dadah.