Instafamous yang memiliki 433,000 jumlah pengikut di platform Instagram berkongsi senaman, diet pilihan     

Oleh IZYAN LIYANA MOHD DARIF

Foto @ATHISHAKHAN

KECANTIKAN wajah Athisha Khan berusia 23 tahun tidak perlu disangkal lagi.

Biarpun menerapkan solekan dan gaya minimalis, penampilan instafamous, model dan usahawan muda tersebut masih tampak menawan.

Dalam dunia media sosial, nama pemilik nama sebenar Nur Athisha Abdul Halim Khan sememangnya cukup terkenal.

Populariti adik kepada selebriti dan ahli perniagaan, Neelofa tersebut mencanak naik selepas membuka saluran YouTube peribadi yang kini memiliki 292,000 jumlah pengikut dan 232 buah video.

Satu perkara yang menjadi perhatian baik dalam video yang dimuat naik di YouTube atau Instagram Stories, Athisha sentiasa ceria, aktif dan energetik. Apakah rahsianya?

Jom ikuti perkongsian lanjut penuntut jurusan undang-undang dalam perniagaan di Universiti of Birmingham, United Kingdom menerusi segmen Sihat Cantik minggu ini.

SINARPLUS: Boleh kongsikan, apakah rutin senaman dilakukan bagi mendapatkan tubuh badan kekal fit?

ATHISHA: Sebelum ini senaman kegemaran saya adalah berenang. Namun begitu, disebabkan pandemik Covid-19, maka pilates menjadi pilihan kedua.

Lagipun dalam kalangan adik- beradik sebilangan besar turut memilih pilates.

Tambahan pula, senaman tersebut bersesuaian dengan kondisi badan saya yang mengalami skoliosis iaitu keadaan tulang belakang bengkok ke kiri atau ke kanan.

Berikutan itu, saya begitu berhati-hati memilih senaman bersesuaian supaya tidak memudaratkan.

Hasil pembacaan, saya menemui jawapan bahawa pilates antara senaman ideal, apatah lagi pergerakannya santai dan relaks.

Boleh kongsikan dengan lebih lanjut perbezaan yang dirasai sebelum dan selepas melakukan pilates?

ATHISHA: Sebelum aktif pilates, bahagian belakang badan mudah berasa sakit terutamanya apabila duduk dalam tempoh terlalu lama. Misalnya, ketika sesi solekan untuk menjalani fotografi.

Bagaimanapun, selepas mengamalkan pilates saya telah mempelajari kaedah terbaik mengawal kondisi badan. Selain itu, saya diberi panduan penggunaan otot, postur badan dan cara duduk yang betul.

Lama-kelamaan fasa penyembuhan untuk masalah skoliosis beransur dalam tempoh yang cepat.

Dari segi pemakanan pula, apakah jenis diet pilihan Athisha?

Iklan

ATHISHA: Sejujurnya, saya tidak obses berdiet kerana bimbang hasil diperoleh adalah untuk jangka masa pendek sahaja.

Saya lebih cenderung mengamalkan corak pemakanan yang santai (tidak memaksa badan). Biarpun, ia mengambil masa, tetapi sekurang-kurangnya misi menurunkan berat badan mampu dicapai secara sihat.

Ironinya, apabila melakukan crash diet kita berjaya kehilangan berat badan sebanyak 10 kilogram (kg), namun tidak mustahil selepas itu akan mengalami kenaikan semula hingga 12kg. Jadi usaha diet terbabit tidak berbaloi.

Disebabkan itu, saya mengamalkan diet Intermittent Fasting (IF) yang baru saja selesai melakukannya bersama ibu (Datin Noor Kartini Noor Mohamed).

Berdasarkan pengalaman pada minggu pertama berjalan lancar, tetapi mengalami sedikit kesukaran untuk minggu kedua.

Pun begitu, pada minggu ketiga dan seterusnya rutin diet IF dapat dilaksanakan secara konsisten.

Apabila memilih diet IF, adakah Athisha terlalu mengawal kalori makanan?ATHISHA: Tidak. Cuma saya mempraktikkan satu hidangan sihat manakala satu hidangan lagi bebas dalam menu harian.

Iklan

Lebih-lebih lagi, saya dan keluarga pula wajib makan nasi setiap hari. Kakak saya, Noor Nabila yang amat menitikberatkan aspek  pemakanan dan senaman pun perlu menjamah nasi.

Menyentuh mengenai variasi video yang dimuatnaik dalam channel YouTube, Athisha Khan, kadangkala kamu menghasilkan video tutorial bereksperimentasi dengan pelbagai set kosmetik.

Adakah Athisha hanya memilih jenama antarabangsa selari dengan imej sebagai influencer popular?

ATHISHA: Oh, semestinya tidak kerana selain label antarabangsa, saya juga gemar mencuba bermacam-macam produk baharu termasuk keluaran lokal. Antaranya jenama BeauTyra dan Young And Glow.

Saya suka bereksperimentasi dengan produk baharu sekurang-kurangnya dapat mengenal pasti sama ada produk tersebut bersesuaian dengan kulit wajah ataupun sebaliknya.

Jika tidak berminat dengan warna atau tekstur, saya segera mencuci wajah.

Namun begitu, sekiranya suka, ini bermakna saya mempunyai koleksi produk kosmetik tambahan yang baharu.

IMBAS kod QR ini untuk video.