PADA hujung minggu ini, pasti kebanyakan individu memilih untuk bersantai di rumah sahaja. Hasrat nak berjalan-jalan mungkin terpaksa dibatalkan bagi memerangi penularan virus Covid-19 yang semakin meningkat.

Oleh itu, apabila berada di kediaman perkara paling menyeronokkan antaranya menonton filem sambil menikmati menu kegemaran seperti piza, sushi ataupun bubble tea (teh boba).

Lalu, jari-jemari pun pantas menekan aplikasi servis penghantaran makanan.

Oh ya! nanti dulu. Sebelum korang membuat tempahan khususnya minuman teh boba, sila baca perkongsian segmen Sihat Cantik hari ini.

Menurut Public Health Malaysia, bagi individu yang ingin menikmati minuman tersebut mereka disarankan supaya tekad iltizam.

minuman boba
ORANG ramai perlu berhati-hati memilih jenis minuman khususnya tinggi kandungan gula yang boleh menyebabkan ketagihan.

“Teguhkan iman kerana sekali sedutan mungkin menyebabkan anda ketagihan.

“Pelanggan pula diajar untuk menyedut minuman ini (teh boba) dari dasar minuman (paling bawah).

“Untuk makluman, bahagian paling bawah itu adalah lapisan paling tinggi gula yang mana gula perang, sirap gula dan bebola berkumpul,” katanya menerusi laman sosial Facebook, Public Health Malaysia baru-baru ini.

Tambah perkongsian tersebut lazimnya sedutan pertama akan menyebabkan hormon dopamine iaitu sebatian kimia di otak naik secara mendadak.

Kemudiannnya, merangsang memberikan satu rasa kenikmatan dan keseronokan.

“Ya, ia adalah mekanisma yang sama seperti bahan ketagihan lain seperti dadah dan rokok. Jadi, tidak hairanlah mengapa begitu ramai tegar beratur panjang untuk membeli minuman ini.

“Walaupun harganya adalah lima kali ganda berbanding harga satu liter petrol!

“Oleh itu, jom kita tukar minuman ini kepada sesuatu yang lebih sihat seperti buah-buahan,” ujarnya lanjut.

Iklan
minuman boba
JOM tukar corak pemakanan pada yang lebih seimbang bagi membantu menyihatkan badan dan merawat kulit wajah.

Sementara itu, Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan Malaysia pula menitipkan pesanan serupa.

“Kalau kamu mampu membeli teh boba, ini bermakna kamu juga mampu membeli buah-buahan.

“Jangan berikan alasan buah mahal kerana pasaran terdapat pelbagai buah tempatan dijual pada harga murah.

minuman boba
INFOGRAFIK menunjukkan kebaikan buah dan keburukan teh boba yang dijual pada harga sama.

“Ramai yang sanggup beratur panjang untuk dapatkan teh boba, semoga kamu juga sanggup laburkan wang untuk membeli buah dan sayur-sayuran,” tegasnya yang turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa menghargai kesihatan.

Iklan

Lagipun banyak kajian sebelum ini mendedahkan bahawa buah dan sayur antara elemen semula jadi yang bukan sahaja baik untuk kondisi tubuh badan, malah membantu mencantikkan dan merawat kulit wajah.

rawat wajah

Barangkali, boleh dimaafkan sekiranya minum sekali-sekala.

Tepuk dada, tanya selera!