UNTUK menemui seorang pereka yang berani untuk melakukan sesuatu yang lain daripada yang lain tidak mudah. Apatah lagi, idea yang ditumpahkan, janggal pada mata masyarakat.

Namun bagi Amira Fatiha Abdul Hamid, beliau tidak kisah, malah menyahut cabaran itu tanpa pernah rasa gentar apatah lagi cepat mengalah.

Jika tidak masakan jenama PAKU (Personalised Accessories KU) yang arif dalam pembuatan beg dan aksesori tanpa jahitan itu terus mendapat tempat sejak tahun 2014 sejak dilancarkan hingga ke hari ini.

Kepada SinarPlus, pereka yang senang disapa sebagai Amira menjelaskan, beliau hanya menggunakan teknik potong dan lipat sahaja untuk segala jenis beg sama ada jenis tote, shoulder, envelope clutch, dompet atau belt bag termasuk tali dan pemegang.


Ujarnya, idea unik itu tercetus ketika bereskperimen dengan konsep berkenaan ketika sedang melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Teknologi Rekaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Kemudian, saya rasakan, hal-hal berbentuk pembikinan dan pembuatan selari dengan minat, jadi saya teruskan dan akhirnya terhasillah PAKU,” katanya ketika ditemui SinarPlus baru-baru ini.


Berkenaan dengan material yang digunakan, Amira berkata, beliau memilih polyvinyl chloride (PVC) dan faux leather yang disifatkan lebih sesuai dan tebal untuk diterjemahkan kepada produk di bawah label PAKU.

“Teknik pembikinan bermula dengan memotong material, lipat dan kemudian ‘memanipulasinya’ menjadi beg dan lain-lain. Kemudian, butang ketap, butang cantum dan tag (nama pelanggan atau PAKU) akan ‘dipakukan’ mengikut kesesuaian ruang,” katanya.

Bukan produk tak siap

Amira seperti sudah lali untuk menjawab soalan penulis seterusnya. Ya, bukan apa, sesetengah masyarakat menganggap produk PAKU seperti ‘produk tidak siap’. Ini kerana mereka sudah terbiasa dengan beg berjenama yang tampil lebih elegan dan tampak sempurna.

Iklan


“Saya tak nafikan tentang wujudnya tanggapan sedemikian, tapi hakikatnya tidak. Teknik tanpa jahitan, potong dan lipat yang diimplemenkan PAKU sebenarnya adalah fesyen, memiliki ‘paras’, cita rasa dan nilai tersendiri,” jelasnya penuh kesungguhan.

Menunjukkan wujud tarikan terhadap label PAKU, Amira berkata, PAKU pernah dibawa oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia ke China untuk satu pameran.


“Di sana, masyarakat antarabangsa suka melihat produk ini. Kata mereka, pembuatannya lebih simple dan mereka juga sukakan konsep yang pelik,” ujar pemegang Master Desain Teknologi, UiTM itu.

Bercerita tentang koleksi lebaran pada kali ini, Amira berkata, beliau tampil dengan LUNA Bag DIY dan Russian Roulette khusus untuk ibu dan anak.

Iklan

“Biasanya kita lihat, baju sahaja sedondon, kali ini beg pula sedondon. Kita memilih warna turqoise, pink, putih dan beberapa rona lagi yang semestinya disukai kaum Hawa.

“Kepada mereka yang mempunyai idea atau beg impian masing-masing, pelanggan boleh datang membuat tempahan di butik saya,” katanya yang turut menyelitkan barisan beg anyaman, Janur yang dibawakan khas dari Sarawak pada musim raya ini.