KETIKA masih menuntut di Universiti Teknologi Petronas (UTP) pada tahun 2014, Puteri Ameera Megat Rosli, 28, dan adiknya, Puteri Nadjwa Dewi, 25, mencipta jenama tudung mereka sendiri iaitu Heeladina.

Kata Puteri Nadjwa, itu semua gara-gara mereka adik-beradik sukar untuk mencari tudung yang mengikut cita rasa remaja kampus.

“Kami sukakan jenis yang polos, kosong, tiada corak, ringkas dan sesuai dengan imej kami seorang mahasiswi. Disebabkan itulah, kami berdua putuskan untuk membikin produk sendiri.

Dengan itu, terciptalah Heeladina. Kalau tanya saya kenapa letak nama Heeladina, sebenarnya tiada membawa apa-apa makna, kami hanya rasakan nama itu ringkas, mudah diingati dan agak catchy,“ katanya kepada SinarPlus baru-baru ini.

Pun demikian, kata Puteri Nadjwa, bisnes berkenaan tergendala seketika lantaran masing-masing mempunyai komitmen dan hala tuju masing-masing.

“Bila saya tamat belajar di UTP, saya tiba-tiba hilang minat untuk bekerja dalam bidang kejuruteraan. Puteri Ameera pula pada masa sama telah diberhentikan kerja gara-gara majikannya mengalami masalah kewangan.

“Justeru, selepas menimbang semula dan berbincang dari hati ke hati, kami bersetuju untuk membangunkan kembali bisnes tudung Heeladina yang senyap seketika itu,“ katanya.

Kepada SinarPlus, Puteri Nadjwa mengakui, perniagaan Heeladina telah dimulakan dengan bermodalkan RM500 sahaja.

“Kami menawarkan tudung bawal dan selendang sesuai untuk mereka berusia 15 hingga 35 tahun,“ katanya.

Sesuai dengan kehendak pelanggan yang pelbagai, Puteri Nadjwa berkata, mereka menawarkan material yang pelbagai seperti cotton, cotton voile, chiffon, Korean chiffon, satin matte, satin silk dan satin velvet. Paling digemari oleh pelanggan Heeladina adalah jenis chiffon.

Kata Puteri Nadjwa, Heeladina hadir dengan 80 nuansa warna yang sangat menarik. Terkini, warna yang menjadi kegilaan pelanggan adalah putih.

Iklan

“Kami lihat pada zaman sekarang, ramai yang cenderung memilih trend (tudung) yang ringkas dan mahu (dipakai) dengan cepat. Apa yang Heeladina cuba lakukan adalah kami cuba mengikut trend tapi masih mengekalkan konsep minimalis,“ katanya sambil memberitahu produk keluaran jenama mereka dijual pada harga RM10 hingga RM100.

Mengulas lanjut, peniaga muda yang bersemangat waja itu berkata, sebagai tambah nilai, pihaknya juga menekankan konsep kotak hadiah yang boleh diolah mengikut bajet pelanggan mereka.

Dengan hanya serendah RM30, orang ramai boleh mendapatkan set hadiah tudung dengan pakej yang menarik,“ katanya yang menggunakan sistem dropship untuk para pelanggan mendapatkan koleksi Heeladina.

Iklan

Ujar Puteri Nadjwa, buat masa ini mereka menggunakan perkhidmatan Ninja Van yang menawarkan harga yang berpatutan untuk urusan penghantaran.

“Ninja Van telah beroperasi sebagai penyedia logistik yang telah membantu dan menyokong pertumbuhan bisnes Heeladina. Sistem mereka (Ninja Van) yang tersedia untuk diintegrasi dengan sistem pembelian dalam talian juga memudahkan perjalanan bisnes Heeladina.

“Paling penting, Ninja Van juga menawarkan penghantaran ke Singapura dan Indonesia yang membolehkan kami meluaskan perniagaan ke peringkat antarabangsa,“ katanya.