BELIAU bukanlah daripada keturunan Melayu, namun jati dirinya lebih daripada Melayu sendiri.

Demikian kesimpulan penulis ke atas personaliti yang bernama John Ang.

Pertemuan kami ketika majlis penutup pameran tekstil Melayu, Splendours of Malay World Textiles telah memberi ruang kepada penulis untuk mengetahui lebih lanjut tentang John termasuk koleksi tenunan yang tersergam indah.

Ya, pada awalnya, sukar untuk mempercayai kesemua hasil seni yang tergantung elok itu adalah milik John.

Seperkara yang istimewa, lelaki itu bukanlah orang tempatan tetapi, anak pasangan warga Singapura yang dilahirkan di Chicago, Amerika Syarikat.

Bercerita tentang pameran berkenaan yang berakhir baru-baru ini, John berkata, beliau mempamerkan 700 daripada 5,000 keping tekstil Melayu yang telah dikumpulkan selama lapan tahun lamanya!

Katanya secara spontan, kalau diikutkan hati, mahu sahaja semua hasil seni dibawa bersama.

Namun, disebabkan kekangan kawangan, masa dan ruang, hasrat itu dilupakan seketika.

“Memandangkan saya hanya ada masa tiga bulan untuk membuat persiapan, amat mustahil untuk mempamerkan kesemua koleksi yang ada.

“Pada bulan pertama persediaan, saya hanya mampu menyiapkan sembilan dinding pameran, sedangkan saya ada 45 dinding yang perlu disiapkan,” katanya ketika ditemui pada pameran yang berlangsung di Menara Ken, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut John, kecintaan terhadap seni tenunan telah mendorongnya mengembara ke serata Asia untuk mengumpul item berkenaan.

Berdasarkan rekod, hasil tenunan pertama dibelinya adalah sekitar tahun 2014.

“Setelah memperoleh tekstil pertama yang berupa Chinese Textiles, tiba-tiba munculnya satu perasaan untuk mengumpul lebih banyak barang tenunan Melayu.

“Bermula dari detik itu, saya menjelajah dari satu negara ke satu negara,” katanya.

Iklan

Selepas puas mengumpul, timbul idea untuk John mengadakan pameran dengan hasrat mahu berkongsi kesemua karya untuk tatapan orang ramai.

“Pameren ini bukan sekadar pertunjukan, tetapi saya ingin mendidik orang ramai tentang keunikan tekstil Melayu yang mempunyai sejarah tersendiri dalam pembikinannya,” ujar beliau.

Daripada banyak helaian, John menunjukkan kepada penulis Limar Bersongket yang bukan sahaja sangat rare, malah pembikinan mengambil masa yang sangat lama dihasilkan iaitu kira-kira empat bulan.

“Satu lagi yang menjadi kesayangan saya ialah tekstil Kemboja. Ia antara koleksi termahal kerana harganya mencecah RM80,000,” katanya.

Sebelum pameran ini, John juga pernah menjalankan satu pertunjukan Sulaman Kelingkam Melayu pada tahun 2019 di Muzium Terengganu.

Iklan

Baca juga: Rajin bersenam, minum kopi tanpa gula, rahsia sihat dan awet muda Nadia Annuar

Baca juga: Safron boleh mengurangkan gejala senggugut, ini penjelasan pakar yang wanita kena ambil tahu

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi