TANPA sebarang kajian mendalam sekalipun, sudah pasti ramai yang tahu akan kebaikan buah lemon.

Portal healthline.com berkata, buah lemon sangat kaya dengan vitamin C mempunyai variasi khasiat dan perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua orang.

Tiada sebab untuk kita menindakkannya kerana sebiji lemon hanya dijual pada harga RM1 hingga RM2 sebiji.

Pada musim Covid-19 ini, kita memang digalakkan minum air lemon bagi meningkatkan imuniti badan.

Kandungan vitamin C tinggi yang terkandung dalamnya juga mampu meningkatkan sistem pencernaan, sekali gus membantu fungsi hati.

Selain itu, lemon juga berfungsi efektif membakar lemak perut berlebihan. Pendek kata, bagus dalam membantu mereka yang sedang dalam program diet.

Bagaimanapun, fungsinya lebih daripada itu.

Berikut SinarPlus kongsikan enam manfaat lain buah lemon dan cara menggunakannya menurut Telegram Petua dan Kesihatan:

1. Mencantikkan kuku secara semula jadi.

Caranya:
i) Belah lemon atau dua biji limau nipis.
ii) Kemudian, gosok pada kuku dan biarkan selama beberapa minit.
iii) Akhir sekali, bilas dengan air bersih.

2. Hilangkan bau pada tangan.

Caranya:
i) Ambil potongan limau nipis atau lemon.
ii) Gosokkan secara perlahan-lahan pada tangan selepas dibersihkan dengan sabun.
iii)Kemudian, tangan dibilas dengan air bersih seperti biasa.

3. Petua tradisional bagi menghalang gigitan nyamuk.

Selain daripada menggunakan penyembur racun serangga, hanya dengan menggunakan lemon atau limau nipis sahaja, ia membantu mengatasi masalah tersebut.

Caranya:
i) Cucuk beberapa cengkih di atas limau atau lemon yang telah dipotong dua seberapa banyak yang anda suka lalu diletakkan pada kawasan yang ‘diganggu’ banyak nyamuk.

4. Hilangkan bau kaki.

Iklan

Caranya:

i) Sediakan air di dalam besen dan letakkan bunga ros, kekwa dan lemon atau limau purut.
ii) Masukkan sedikit garam bukit ke dalam besen yang sama.
ii) Rendamkan kaki selama 10 minit.

5. Hilangkan bau dalam ketuhar atau microwave.

Caranya:
i) Hiris lemon atau limau dan masukkan ke dalam mangkuk yang berisi air.
ii) Panaskan mangkuk berisi air dan lemon itu di dalam ketuhar atau microwave selama dua hingga tiga minit.
iii) Kemudian, lap microwave menggunakan tisu.

6. Hilangkan kerak hitam pada kuali.

Iklan

Caranya:
i) Potong lemon dan rebus bersama dengan kulitnya sekali.
ii) Biarkan ia sejuk lebih kurang 3 hingga 4 jam sebelum anda mencuci periuk tersebut seperti biasa.

Wah! Banyak betul kegunaan buah lemon ini.

Bukan sahaja membantu dari aspek kebersihan diri, malah boleh digunakan sebagai bahan tambahan untuk bersihkan peralatan dapur juga.

Semoga perkongsian di atas memberi manfaat kepada semua pembaca SinarPlus.