TELUR adalah sajian paling ringkas yang dimasak meskipun seseorang itu tidak tahu atau memalas memasak.

Pun demikian, kepada mereka yang berdiet dan memang menjaga tubuh badan, telur dijadikan sebagai sumber protein untuk tubuh badan.


Apabila badan mendapatkan protein yang mencukupi, ia akan membantu membina tulang dan otot manusia dengan baik, selain mampu menjaga kesihatan secara keseluruhan.

Menurut laman web sehatq.com, biasanya sebiji telur mengandungi sekitar 6 hingga 7 gram (g) protein.

Bagaimanapun, kandungan protein bergantung pada saiz telur.

Berdasarkan ukurannya, berikut adalah jumlah protein yang terdapat dalam telur:
– Telur kecil (38g): 4.9g protein
– Telur sederhana (44g): 5.7g protein
– Telur besar (50g): 6.5g protein
– Telur yang sangat besar (56g): 7.3g protein
– Telur jumbo (63g): 8.2g protein

Sementara, telur bersaiz sederhana pula merekodkan putih telur mengandungi 3.15g protein dan kuning telur mengandungi 2.38g protein.


Oleh yang demikian, saran laman web kesihatan itu, setiap daripada kita perlu makan telur sepenuhnya dan bukan hanya pada bahagian putih sahaja.

“Makan sebiji telur secara keseluruhan merupakan kaedah terbaik untuk mendapatkan banyak protein dan nutrien lain.

Iklan

“Protein berkualiti tinggi yang banyak terdapat dalam telur juga mengandungi sembilan asid amino penting yang baik untuk tubuh,” beritahu mereka.

Dalam pada itu, seorang pakar pemakanan, Syaza Lyana Idris dalam entri Facebooknya mengatakan, masih ramai dalam kalangan rakyat Malaysia yang tidak tahu perbezaan jumlah protein yang diserap oleh badan.

Ujarnya, berdasarkan beberapa kajian, hanya 50 hingga 74 peratus protein sahaja yang mampu diserap oleh badan kita sama ada daripada telur mentah atau kurang masak.

Iklan


“Bagi telur yang dimasak sempurna, badan kita dapat menyerap hampir 90 hingga 94 peratus protein daripada telur tersebut.

“Proses memasak menyebabkan perubahan pada struktur protein dan enzim di dalam telur, membuatkan protein lebih mudah diserap dan dihadam oleh badan.

“Sebenarnya, tiada masalah jika anda memang suka telur separuh masak atau telur goyang kerana sekurang-kurangnya ada juga sumber protein baik yang dapat diambil. Cuma pastikan setiap hidangan yang diambil adalah seimbang sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Syaza Lyana memaklumkan, telur yang tidak dimasak sempurna mempunyai risiko bakteria salmonella yang menjadi punca keracunan makanan.

“Ingat, bagi kanak-kanak dan wanita mengandung, elak daripada makan telur yang tak dimasak sempurna,” katanya.