REZEKI berganda! Itu yang boleh SinarPlus simpulkan tentang takdir indah personaliti media sosial dan juga doktor bedah di United Kingdom, Dr Amalina Che Bakri.

Selepas selamat melangsungkan perkahwinan dengan jejaka tampan, Alexander Charles, 33, beliau meluahkan keterujaan apabila berpeluang mengisi ruang dalam majalah fesyen terkemuka, Vogue Britain.

Bukan calang-calang ya, orang yang mendapat tempat dalam majalah berkenaan. Kiranya Dr Amalina hebat dan sungguh beruntung! Kami di sini turut tumpang gembira.

Menerusi penelitian SinarPlus, Vogue Britain secara online telah menyiarkan beberapa keping gambar perkahwinan Dr Amalina yang mengenakan baju kurung semasa upacara pernikahannya baru-baru ini.

Busana kurung moden rekaan pereka dari Malaysia, Cosry yang disarungnya menjadi bualan ramai dan semestinya paparan pakaian tradisional itu dalam majalah global berkenaan menjadi kebanggaan kita semua.

Menerusi artikel yang disiarkan Vogue Britain, Dr Amalina antara lain menceritakan detik-detik bagaimana perkahwinannya terpaksa ditunda sehingga dapat direalisasikan meskipun tanpa kehadiran ibu tercinta, Sabariah Hassan.

Iklan

Selepas ciapan Dr Amalina di Twitter dan coretan status menerusi laman Instagram kelmarin, beberapa selebriti tempatan mengucapkan tahniah.

Iklan

Antaranya selebriti Yasmin Hani, Daphne Iking, Datuk Aznil Nawawi, Catriona Ross, dan Adeline Tsen.

Berdasarkan rekod, anak Johor itu merupakan rakyat Malaysia kedua yang diberi ruang dalam majalah Vogue selepas penyanyi Yuna yang tampil sebagai penghias wajah Vogue Singapura dan Vogue Arabia.