SERING disalah erti sebagai jenama antarabangasa, tulang belakang Furby & Sugar nyata dimiliki oleh seorang jejaka tempatan bernama Januar Haikal Shamsudin.

Kata Januar Haikal, beliau mula menumpahkan sepenuh perhatian terhadap bidang fesyen sejak tahun 2015 selepas meninggalkan kerjaya lamanya sebagai perancang perkahwinan.

Bidang itu katanya, saling berkait rapat kerana kedua-duanya berpaksikan kepada pemilihan fabrik terbaik untuk menghasilkan pakaian.

 

Baca juga: Raikan kebebasan selepas covid-19 Alia Bastamam terjemaah rekaan dalam koleksi terbaharu

 

Untuk jenama Furby & Sugar, pereka bersemangat waja itu berkata, beliau memilih untuk menghasilkan baju-T yang lebih santai dan boleh dipakai hari-hari.

“Saya menghasilkan baju-T jenis kapas dan cetakan yang pastinya memberikan keselesaan kepada pemakai. Ia juga sesuai dipadankan dengan tema kasual mahupun seluar jeans,” katanya ketika dihubungi.

Rekaan Furby&Sugar pasti akan memenuhi cita rasa penggemar fesyen yang ringkas.

Ujar Januar Haikal, corak yang diketengahkan pula rata-ratanya diinspirasikan daripada label terkenal dunia seperti Versace, Gucci dan Kenzo.

Terbaharu, terdapat juga baju-T yang dihiasi dengan nama jenama busana tersebut yang kemudiannya ditulis dalam tulisan jawi.

“Sentuhan moden yang melambangkan kemewahan itu diadaptasikan menerusi cetakan dengan cara kami tersendiri agar pemakainya dapat tampil lebih segar, bergaya dan sofistikated.

“Kami juga menggunakan material jenis neoprene untuk baju cetakan yang serap peluh. Biarpun sasaran kami lebih kepada golongan lelaki, tetapi rekaan yang tidak terhad dan bersifat uniseks membuatkan kaum Hawa turut meminati baju-T kapas dan cetakan kami,” katanya.

Selain baju yang tertera tulisan label Furby & Sugar, jenama berkenaan sebelum ini pernah terkenal dengan cetakan corak emas pada leher sehingga diplagiat oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Furby&Sugar turut mengangkat martabat tulisan jawi dalam seni rekaan mereka.

Perbuatan ‘parasit’ itu ungkap pereka tersebut secara tidak langsung telah menyulitkan pihak Furby & Sugar untuk mendapat tempat melalui aplikasi e-dagang Shopee.

“Saya memberi penjelasan kepada pihak berwajib dan mengatakan rekaan Furby & Sugar adalah asli. Kami juga mempunyai alternatif lain untuk pembelian iaitu melalui laman web rasmi, www.furbyandsugar.com.

“Selain baju-T, Furby & Sugar turut memiliki pelbagai produk lain seperti kurta, jubah, baju Melayu, wangian, seluar, sweatshirt, topi dan pelitup muka,” ujarnya yang menasihati pengguna agar membeli terus menerusi laman web.

 

Iklan

Baca juga: Koleksi Hagia Soultan Ezuwan Ismail penuhi cita rasa wanita untuk tampil bergaya ke pejabat

 

Selain untuk orang dewasa, penghasilan pakaian untuk kanak-kanak turut dilakukan. Pun demikian, ia bergantung kepada koleksi tertentu terutama bagi tema bapa dan anak.

Kepada penulis, Januar Haikal berkata, pihaknya turut meletakkan harapan untuk melebarkan sayap jenamanya ke pentas peragaan antarabangsa.

Pada saat mereka telah bersedia untuk melangkah lebih jauh, dunia pula dilanda pandemik Covid-19 yang membataskan pergerakan terutama untuk ke luar negara.

Iklan
Selain kemeja-T, wangian dan pelitup muka turut boleh didapati di www.furbyandsugar.com.

Meskipun sudah empat kali dipelawa menyertai Minggu Fesyen Vancouver, Kanada, sukar untuk pereka muda tersebut memberi kata putus, memandangkan Malaysia masih bergelut dengan virus berbahaya itu.

“Sejujurnya saya ingin menyertainya kerana ini merupakan peluang terbaik untuk membawa jenama kami ke Eropah. Sekiranya ia menjadi realiti, rekaan Furby & Sugar akan diterbitkan dalam majalah Vogue Kanada.

“Biarpun kami sudah memiliki pelanggan dari luar negara, tetapi jika dapat ke rantau orang, pastinya peluang itu akan lebih luas,” ujarnya.

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram