NAMA pelakon Syazuwan Hassan semakin meningkat naik sejak pembabitannya dalam industri hiburan tanah air pada tahun 2016. Bakat beliau mula dicungkil selepas menyertai Drama Festival Kuala Lumpur 2016 dan terpilih menjadi finalis.

Beberapa drama rantaian yang dibintanginya seperti Sein dan Luna, Cik Serba Tahu, Bidadari Salju termasuk filem sulung, Pulang menjadi sebutan.

Berbekalkan rupa yang kacak ditambah dengan ketinggian 190 sentimeter, kelebihan itu nyata sudah cukup menarik perhatian khalayak.

 

Baca juga: Tinie tetap makan nasi walau bergelar supermodel ini rahsia lain yang ramai tak tahu 

Baca juga: Tabiat minum air putih 2 liter sehari bantu Fify Azmi kekalkan kecantikan dan stamina

 

Fizikalnya yang tinggi juga dimanfaatkan sepenuhnya untuk bermain bola keranjang. Selebriti itu turut memberitahu, memiliki sejumlah jersi sukan kegemarannya itu.

Baru-baru ini, penulis menghubungi Syazuwan untuk menyelongkar rahsia beliau menjaga penampilan diri dan tip agar sentiasa nampak kekar dan cergas.

Sebagai lelaki, selebriti itu berkata, beliau amat mementingkan penjagaan wajah, tubuh badan dan kesihatan diri, lebih-lebih lagi selepas bergelar anak seni.

Ikuti wawancara santai penulis bersama Syazuwan yang menjawab semua persoalan yang dilontarkan baru-baru ini.

SINARPLUS (SP): Apa khabar? Melihat kepada fizikal anda yang tinggi, bolehkah Syazuwan kongsikan bagaimana anda menjaga bentuk badan agar sentiasa berada pada tahap ideal?

SYAZUWAN: Alhamdulillah, saya berada dalam keadaan baik. Sejujurnya saya memang suka menghabiskan masa di gimnasium pada waktu lapang.

Memandangkan tubuh saya yang tinggi, saya perlu melakukan aktiviti fizikal agar menampakkan bentuk tubuh sedikit sasa atau besar. Jika tidak, saya mungkin akan kelihatan terlalu kurus dan ini tak sesuai untuk penampilan di kaca televisyen.

Pemakanan sihat juga penting agar seimbang dengan aktiviti fizikal yang dilakukan. Maklum saja, sebagai pelakon saya perlu menjaga penampilan diri. Sekiranya tidak ke gimnasium, saya akan melakukan senaman di rumah.

Iklan

Aktiviti mengeluarkan peluh yang biasa dilakukan adalah seperti tekan tubi atau mengangkat dumble. Tidaklah duduk di rumah goyang kaki sahaja (ketawa).

SP: Adakah Syazuwan seorang yang gemar imej berjambang atau kumis?

SYAZUWAN: Saya seorang yang tidak gemarkan berjambang, misai atau kumis. Namun, jika diperlukan untuk watak, saya tidak akan teragak-agak untuk tampil dengan imej sebegitu.

Saya juga pernah mencuba untuk menyimpan jambang, tetapi ia tidak tumbuh dengan sekata dan tidak sesuai dengan saya. Selain itu, imej sebegitu perlukan komitmen kerana ia harus dijaga dengan baik agar sentiasa kelihatan kemas dan bersih.

SP: Beralih kepada penjagaan rambut, gaya yang bagaimanakah digemari? Adakah Syazuwan seorang yang cenderung bereksperimen dengan potongan berbeza?

SYAZUWAN: Sejujurnya, saya memang sukakan pelbagai gaya, tetapi mungkin kerana rambut saya ini agak degil dan sukar untuk dibentuk, saya selesa dengan gaya yang sederhana, selain bersesuaian dengan bentuk muka.

Iklan

Namun, sekali lagi, jika ada watak yang inginkan saya menggayakan potongan rambut pendek atau berbeza, tidak menjadi masalah. Sebagai contoh saya pernah memotong rambut pendek dalam drama Ops Cinta Din Sardin.

SP: Adakah Syazuwan seorang yang memilih dari segi produk penjagaan kulit wajah?

SYAZUWAN: Perkara utama adalah kenal pasti produk yang sesuai dengan kulit wajah kita. Walaupun orang kata pentingkah orang lelaki jaga muka?

Bagi saya perkara itu memang penting. Bukan sahaja penampilan menjadi lebih yakin, tetapi ia menampilkan imej bersih dan kemas. Tidak kisah sama mahal atau murah, paling penting kesannya yang optimum pada kulit wajah.

Walaupun orang cakap klise, tetapi amalan menjaga pemakanan, kurangkan makanan berminyak, banyak minum air putih dan rehat secukupnya penting untuk kulit seseorang.

SP: Bercerita pula soal hobi, sesetengah individu memiliki minat mengumpul barangan seperti jam tangan, kasut atau topi. Bagaimana pula dengan anda?

SYAZUWAN: Saya minat mengumpul jersi bola keranjang dan kini sudah memiliki lebih puluhan pasang jersi. Sejak sekolah lagi, saya memang sukakan sukan tersebut dan telah menyertai beberapa kejohanan.

Setiap kali menyertai sebarang pertandingan, saya akan menempah dua pasang baju agar satu boleh dipakai sewaktu permainan, manakala sehelai lagi disimpan sebagai koleksi.

SP: Pemilihan gaya dan fesyen, konsep yang bagaimanakah menjadi pilihan anda?

SYAZUWAN: Fesyen ini sifatnya meluas dan terpulang kepada hak individu. Bagi saya, apa yang selesa dan sedap mata memandang, itulah yang menjadi pilihan.

Tambahan, saya juga seorang yang santai dan sahaja. Jadi, pilihan gaya yang digemari ialah smart kasual.
Penampilan minimalis itu sudah memadai dan saya juga akan cuba tampil kemas tidak mengira sama ada ke acara rasmi ataupun melakukan aktiviti harian.

Bukan kata artis itu perlu jaga dari hujung rambut hingga hujung kaki, tetapi tugas saya banyak berjumpa dan berinteraksi dengan orang ramai.

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram