PENJAGAAN peralatan alat solek terutama berus mekap penting bagi menghalang kehadiran bakteria, sekali gus mengelakkan muka berjerawat jika digunakan pada kulit wajah.

Justeru, kebersihan peralatan amat penting khususnya bagi individu yang mempunyai masalah kulit sensitif perlu diberi perhatian.

Kalau bukan kulit sensitif pun kena jaga ya sebab kebersihan tu kan penting.

Okey, bercakap tentang berus mekap, materialnya ada bermacam-macam.

Untuk perkongsian kali ini, cukup SinarPlus kongsikan dua jenis yang paling dominan iaitu sintetik dan semula jadi.

Jenis semula jadi diperbuat daripada kulit haiwan yang lebih lembut berbanding bulu sintetik fiber atau nylon.

Berikut SinarPlus kongsian perkara perlu dilakukan bagi memastikan berus mekap kita sentiasa berada dalam keadaan bersih sebelum sedia digunakan:

1. Sabun pencuci.

Iklan
  • Syampu rambut atau bahan antibakteria boleh digunakan untuk menghilangkan kotoran sisa alat solek pada berus.
  • Jika anda malas, cuci berus mekap sekurang-kurangnya sebanyak dua kali sebulan, namun lebih afdal jika membasuhnya setiap kali selepas pakai.

2. Jangan rendam.

  • Bagi memastikan berus dapat tahan lama, hanya rendamkan bahagian berus tanpa perlu merendamkannya secara keseluruhan.
  • Perkara ini dibimbang kerana sekiranya air masuk ke dalam batang berus, ia boleh menyebabkan karat atau rapuh.
  • Apabila ingin membilas berus, cuba basuh dalam keadaan kepala berus ke bawah. Hal ini dapat mengelakkan daripada berlakunya kerosakan pada bahagian gam di dalam berus sekiranya dibasuh secara menegak.

Iklan

3. Jangan guna pengering rambut.

  • Penggunaan pengering rambut merupakan jalan pintas untuk mengeringkan rambut, namun tidak sesuai digunakan pada berus mekap.
  • Tekanan haba daripada pengering rambut akan menjejaskan keadaan bulu dan menyebabkan berus rosak.
  • Sebaiknya selepas basuh, lap berus dengan tuala dan keringkan atau letakkan dihadapan kipas dengan kelajuan sederhana.

4. Jangan simpan.

  • Sekiranya berus tersebut telah rosak atau bulunya tidak lagi lembut, anda disarankan untuk membeli berus baharu.
  • Keadaan permukaan bulu secara tidak langsung mempengaruhi kesan solekan pada wajah.
  • Jika keadaannya tidak sekata, maka solakan anda berkemungkinan tidak kelihatan flawless.

5. Bebas habuk.

  • Sebaiknya simpan berus di dalam bekas tertutup agar tidak terdedah kepada habuk atau kotoran lain.
  • Lebih baik jika anda memiliki bekas simpanan khas untuk disimpan seperti beg gulungan yang mempunyai poket bagi menempatkan setiap satu berus.

Diharapkan perkongsian SinarPlus ini dapat membantu anda dalam penjagaan berus solek agar dapat tahan lama.

Paling utama jangan malas untuk mencuci berus mekap anda!