UMUM mengetahui manfaat menggunakan minyak zaitun berbanding minyak masak biasa.

Pun demikian, ramai yang masih keliru kerana terdapat banyak jenis minyak zaitun di pasaran.

Rata-rata daripada kita menggunakan minyak zaitun untuk kesihatan, namun, jangan tersalah pilih minyak zaitun yang ingin digunakan untuk tujuan memasak.

Menurut seorang pengguna Facebook, Hilmirda Daud, jika tersalah memilih minyak zaitun, ia boleh memudaratkan kesihatan seseorang.

“Sebelum itu, pastikan kita tahu perbezaan antara minyak zaitun jenis ekstra virgin dengan pure olive oil.

“Sebenarnya, kedua-dua fungsi minyak zaitun tadi tidak sama, apatah lagi daripada segi rasanya kerana minyak zaitun mempunyai gred-gred tertentu,” tulis Hilmirda.

Bagi mengetahui sama ada jenis yang mana satu lebih baik, kata wanita itu, kita wajib perhatikan kandungan kadar asid minyak (acidity).

“Jika acidity minyak zaitun ekstra virgin (warna kuning kehijauan) yang mempunyai kualiti yang tinggi, ia mestilah mencatatkan 0.8 peratus ke bawah.

“Begitu juga untuk pure olive oil (warna kekuningan atau kuning pucat) yang mana kadar acidity yang ditunjukkan mestilah 2 peratus ke atas,” jelasnya lagi.

Beritahu Hilmirda lagi, pure olive oil pada asalnya minyak zaitun yang tidak boleh dimakan kerana bau dengan rasanya yang tidak sedap dan kadar asid minyak yang digunakan tinggi berbanding minyak zaitun jenis extra virgin.

Iklan

“Jadi minyak zaitun (pure olive oil) ini akan diproses supaya boleh dijual.

“Selepas diproses, warna dan rasanya akan hilang. Jadi, minyak zaitun jenis ini akan dicampurkan dengan sedikit minyak zaitun ekstra virgin supaya ada aroma dan rasa buah zaitun. Biasanya 85 peratus minyak zaitun yang diproses, selebihnya (15 peratus) adalah minyak zaitun extra virgin,” katanya.

Sebaliknya, jika minyak zaitun jenis extra virgin pula, biasanya diperah secara perahan sejuk supaya khasiat, warna dan rasanya tidak terjejas.

“Minyak zaitun jenis ini sangat sesuai untuk dimakan begitu sahaja ataupun dicampur bersama dressing salad,” katanya.

Untuk pengetahuan pembaca lagi, minyak zaitun extra virgin ini kalau kita gunakannya untuk menumis, khasiatnya akan terjejas dan boleh menyebabkan masalah hipertrigliseidemia iaitu lebihan lemak dalam darah.

Iklan

“Oleh itu, jika ingin menggunakan minyak zaitun untuk tujuan memasak, pilihlah jenis pure olive oil. Sebaliknya, jika ingin sihat dan diet, jenis ekstra virgin sangat sesuai kerana ia mempunyai oksida yang tinggi dan banyak khasiat lain yang terkandung,” tambahnya.

Pun demikian, ujar Hilmirda, minyak zaitun perlu disimpan di tempat yang gelap (tidak terdedah kepada cahaya matahari) supaya khasiat dan kualitinya tidak terjejas.

Cara mudahnya, belilah minyak zaitun yang siap tersedia dalam boleh kaca yang gelap. Semoga bermanfaat.