PERUNCIT pakaian global UNIQLO baru sahaja mengumumkan pelancaran UNIQLO & White Mountaineering, satu jenama terkemuka di Jepun.

Seperti yang semua maklum, kalau anda mahu ke negara-negara sejuk, pakaian luar dan bulu UNIQLO akan diburu.

Justeru, menariknya tentang koleksi khas itu, ciri luaran White Mountaineering telah dipersembahkan sebagai adaptasi baharu LifeWear, dengan kemajuan lebih lanjut dalam fungsi dan reka bentuk.

Perekanya, Yosuke Aizawa berkata, sebagai pereka, beliau banyak memikirkan tentang bagaimana mahu memanfaatkan perincian pakaian luar dan sukan di White Mountaineering untuk pakaian UNIQLO.

“Jadi, saya dengan teliti telah mempertimbangkan corak dan reka bentuk yang tidak akan menambah ‘tekanan’ ketika dipakai.

Saya percaya, kami telah mencipta barisan pakaian seharian baharu yang boleh dipakai pada bila-bila masa dan di mana jua sekalipun,” katanya dalam satu kenyataan.

Secara keseluruhannya, terdapat sembilan item untuk lelaki, wanita dan kanak-kanak dalam koleksi berkenaan.

Seperti biasa, rona warna yang dipilih memang menjadi pilihan manusia sejagat.

Kalau anda memilih untuk mendapatkan UNIQLO Hybrid Down, ia merupakan pakaian luar generasi baharu yang menampilkan gabungan pelapik bawah dan kapas, tersedia untuk lelaki dan wanita.

Jaket Fleecenya pula dibuat dengan melapisi dua jenis kain bulu, disiapkan dalam gaya ketenteraan agar sesuai dengan fesyen masa kini dan menarik bagi lelaki dan wanita.

Untuk item kanak-kanak yang juga merupakan yang pertama untuk Aizawa, beliau mengaplikasikan reka bentuk asas sama seperti untuk orang dewasa.

Kepada anda yang ingin mengenali lebih lanjut Aizawa, beliau dilahirkan pada tahun 1977 dan merupakan graduan lulusan dari Tama Art University dengan Ijazah Reka Bentuk tekstil, pada tahun 2006.

Beliau memulakan White Mountaineering sejak tahun 2016 dengan mengeluarkan koleksinya di Paris Fashion Week.