DAUN pandan didakwa boleh menurunkan darah tinggi dan kencing manis? Apakah ia benar?

Menjawab kepada soalan itu, Pensyarah Kanan Kimia dan Penyelidik UiTM, ChM Dr Fatimah Salim ada hujahnya.

“Jawapan saya, ADA benarnya,”.

Buktinya, terdapat kajian kepada tikus yang menunjukkan ada kesan penurunan terhadap diabetes dan darah tinggi apabila diberikan 10 peratus air pandan selepas diberi makan gula.

Kesan itu mungkin disebabkan oleh kandungan bahan kimia bersifat antioksida dari kumpulan flavonoid, asid phenolik dan carotenoid dalamnya, berserta vitamin (contoh vitamin A dan C) dan mineral, sama seperti sayur-sayuran lain.

Cuma bau pandan yang wangi dan rasanya yang enak sesuai dijadikan teh untuk diminum.

Penyakit metabolik seperti darah tinggi dan kencing manis boleh berlaku disebabkan terganggungnya keseimbangan kimia badan.

Makanan yang kaya dengan antioksida seperti sayur-sayuran hijau boleh membantu dalam merawat proses badan secara semula jadi.

Mereka juga boleh membantu dalam menguatkan sistem pertahanan semulajadi badan melawan penyakit.

Iklan

Bagi individu yang dalam rawatan, usahlah tinggalkan ubat yang diberikan.

“Jus pandan BUKANNYA ubat. Jadikan makanan yang mempunyai fungsi merawat (functional food) seperti daun pandan ini sebagai pelengkap.

“Berhati-hati juga dengan kesan interaksi ubat dan makanan. Berbincanglah dengan pakar pemakanan dan doktor yang merawat. Begitu juga dengan terus amalkan pemakanan serta gaya hidup yang sihat,” pesan Dr Fatimah.

Kesimpulannya, boleh saja air pandan diminum sebagai teh selepas makan untuk kesihatan umum badan namun usah berlebihan. Ingat, segala yang berlebihan boleh membawa mudarat.

Iklan

ANEKDOT
Kebaikan lain pandan:

• Pati minyak pandan boleh membantu melegakan sakit-sakit sendi.
• Pes pandan boleh melegakan kesan terbakar pada kulit.
• Bahan kimia meruap dalam pandan boleh membangkitkan selera makan. Sebab itu sesuai dicampurkan dalam masakan.
• Bahan kimia meruap daripada pandan juga boleh menghalau serangga.