KALI ini, memang ramai rasanya tidak sabar untuk menyambut Hari Raya bersama keluarga di kampung. Sekarang ini pun, wajah mak ayah, adik beradik dan sanak-saudara sudah terbayang-bayang walau baru minggu kedua Ramadan.

Kepada kaum Hawa, selain memperagakan busana yang cantik, pemilihan tudung yang sepadan sangat dititik beratkan demi menyerlahkan lagi imej agar lebih mempesona.

Dalam segmen Indeks Fesyen kali ini, kami mencadangkan agar para wanita memilih jenama Kekaboo. Bukan sahaja menawarkan pelbagai pilihan warna, malah corak dan saiz bidang tudung bawal jenis kapas memang menambat hati.

 

Baca juga: Bergaya sakan dengan variasi pilihan baju raya sempena Zaloraya 2022 memang rambang mata dibuatnya

Baca juga: Lakar sejarah tersendiri Miriam Omar pereka tunggal dari Asia Tenggara terpilih berkolaboratif dengan sheinforall

 

Menurut pengasasnya, Nur Hazwani Abdul Zainal atau lebih selesa dikenali sebagai Wany berkata, perjalanan Kekaboo sebenarnya bermula dengan hanya menjual kain kapas sahaja pada tahun 2014.

Rekaan padanan ibu dan anak sesuai untuk digayakan ketika hari raya.

“Selepas setahun berniaga, suami saya, Ahmad Tajuddin Mohamad Nor nekad untuk menceburi pasaran tudung bawal.

“Objektif kami adalah untuk menghasilkan produk lokal berkualiti dengan menggunakan kapasiti tempatan sebanyak 2,000 ke 5,000 helaian tudung cetakan digital bagi setiap rekaan berbeza di bawah satu koleksi,“ katanya yang memiliki kilang sendiri di Batu Caves, Selangor.

Sempena Aidilfitri pada kali ini, ujar Wany, Kekaboo akan melipat gandakan jumlah cetakan tudung dengan menawarkan pelbagai jenis motif dan nuansa idaman pada setiap minggu.

“Sebenarnya, semua rekaan tudung mula dikeluarkan pada awal bulan Mac lalu hingga minggu pertama April. Cara ini akan lebih memudahkan kami memberi fokus kepada tempahan dan penghantaran lebih-lebih apabila Hari Raya sudah semakin dekat,“ katanya.

Buah tangan baharu

Menurut Wany, pada minggu pertama Mac, pihaknya telah mengeluarkan koleksi yang diberi nama Kekaboo Chic Cotton Voile. Himpunan itu mengetengahkan corak bunga yang sederhana dengan saiz bidang 45 inci, di samping pilihan warna pastel seperti biru muda, merah jambu dan coklat lembut.

Kemudian, pada minggu seterusnya, Mirabelle Chic Cotton Voile mengambil tempat dengan saiz bidang sama. Kepada yang meminati corak bunga lebih besar dan warna terang, seleksi berkenaan mungkin boleh dimiliki.

Nur Hazwani Abdul Zainal

Wany tidak menafikan, koleksi Mirabelle Chic Cotton Voile sering menjadi pilihan golongan muda kerana patennya lebih menyerlah dengan penampilan warna garang seperti merah, kuning dan jingga.

Iklan

Tidak hanya bermotifkan flora, corak abstrak seperti kotak-kotak dan percikan dakwat juga diketengahkan Kekaboo.

“Selain warna terang dan pastel, koleksi Ladorra pula lebih kepada rona gelap seperti hitam dan biru gelap. Material kain kapas yang digunakan juga lebih tebal,“ ujar beliau.

Bagi yang menginginkan material berbeza, Lea Miranda Raya sesuai buat penggemar bawal sifon. Tidak hanya itu, Kekaboo cetak penuh raya pula menawarkan bawal kapas dengan cetakan biasa dan lebih murah berbanding cetakan digital.

Menariknya mengenai tudung Kekaboo, setiap koleksi memiliki antara 10 hingga 15 rekaan berbeza dengan pilihan 40 variasi warna.

Antara pilihan rekaan tudung Kekaboo.

Wany menambah, bagi merancakkan lagi Syawal, jenamanya turut menawarkan Kekaboo Raya Edisi Khas Kanak-Kanak dan Kekaboo Edisi Khas Raya.

Iklan

Kedua-duanya khusus buat penampilan sama corak dan warna di antara ibu dan anak.
Pertama kali diperkenalkan, wanita itu percaya, buah tangan baharu tersebut akan menjadi tarikan, sekali gus mampu mencapai sasaran sebanyak RM5 juta jualan pada Ramadan tahun ini.

“Saya yakin kali ini sambutan Hari Raya Aidilfitri akan diraikan secara meriah memandangkan beberapa prosedur operasi standard yang semakin longgar. Hal ini akan merangsang pengguna untuk tampil lebih cantik untuk bertemu individu yang mereka rindui,“ katanya.

 

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI