SEJAK Mac lalu, normal baharu  bekerja dari rumah telah diimplemenkan. Banyak syarikat besar sudah mengambil  pendekatan demikian.

Realitinya, sejak beberapa tahun lalu, terdapat organisasi di Malaysia yang telah mengamalkan konsep berkenaan. Malah, di negara seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom, budaya itu dipraktikkan sejak lebih sedekad lalu.

Merujuk beberapa penulisan ilmiah antarabangsa, amalan bekerja dari rumah diperkenalkan ekoran peningkatan golongan wanita dalam sektor pekerjaan selain pertambahan jumlah pasangan suami isteri yang mencari rezeki bersama demi kelangsungan hidup.

Paling signifikan, pastinya merujuk kepada kepesatan teknologi yang membolehkan segala tugas dilakukan secara efektif tanpa perlu hadir ke pejabat.

Pendekatan itu semakin relevan susulan  pandemik Covid-19 yang menuntut penjarakkan sosial.

Persoalannya, sejauh manakah keberkesanan bekerja dari rumah? Adakah ia dapat  merealisasikan visi dan matlamat syarikat?

Mengulas perkara itu, Doktor Kesihatan Pekerjaan merangkap Pengasas MyREST, Dr. Khairil Idham Ismail berkata, amalan bekerja dari rumah memberikan nilai-nilai tertentu.

DR Khairil Idham.

“Ia akan memberi fleksibiliti dari segi ruang dan waktu, tiada atau berkurangnya masa perjalanan ke tempat kerja, lebih dekat dengan keluarga dan rumah termasuk kurangnya stres di tempat kerja,“ ujarnya.

Bagaimanapun, kata Dr Khairil Idham, pilihan bekerja dari rumah haruslah dicongak secara berhati-hati kerana ia boleh menjurus kepada kelesuan tubuh dan kurangnya produktiviti.

Perkara itu jugalah yang berlaku ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ramai golongan yang bekerja dari rumah mengatakan mereka berasa lesu sama seperti bekerja di pejabat walaupun mereka hanya duduk di rumah dan tidak keluar ke mana-mana.

“Keadaan itu disebabkan kelesuan hanya dilihat dari sudut pandang satu dimensi atau bersifat sementara dan bukannya pelbagai dimensi melibatkan kelesuan fizikal, emosi dan kognitif,” jelasnya.

Masakan tidak, katanya, jika berada di rumah sendiri, tuntutan fizikal seperti bergerak ke sana ke mari menjadi terhad sekali gus menyebabkan kemerosotan tenaga dalam bentuk emosi dan kognitif.

Keadaan semakin buruk apabila tiada segmentasi ruang di antara rumah dan stesen kerja. Di situlah tempat makan dan minum, tidur dan pada masa sama menjadi ruang pejabat, kata Dr Khairil Idham.

Selain itu, pekerja juga cenderung menghabiskan banyak masa melihat paparan skrin komputer atau telefon pintar sebagai cara untuk kekal berhubung dengan bos dan rakan sekerja.

Iklan

“Dalam hal ini, saintis berpendapat  pancaran cahaya daripada tablet terutamanya pada waktu malam akan mengganggu penghasilan melatonin dalam badan sehingga mampu mengganggu corak tidur,” katanya.

Kekal produktif

Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Nur Athira Muhamad Yunus turut mengusulkan pandangannya.

DR Nur Athira.

Katanya, bekerja dari rumah memberi beberapa kelebihan. Namun, perkara paling penting adalah bagaimana seseorang pekerja dapat mengawal tekanan.

“Mereka yang melakukan tugas-tugas pejabat di rumah disarankan memberi kelonggaran pada diri sendiri untuk merehatkan minda, bermeditasi atau melakukan senaman regangan.

“Manfaatkan masa dengan menghirup udara segar, berkebun dan bermain alat muzik bagi mengimbangi fitrah semula jadi manusia,” katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Iklan

Di sebalik kekhuatiran gelombang Covid-19, terdapat hikmah tersembunyi, kata Dr Athira.

“Kita perlu panjatkan rasa syukur kerana fasa pergerakan terhad ini telah membuka ruang kepada kita untuk berinteraksi dengan lebih berkesan dan melakukan aktiviti menyeronokkan bersama ahli keluarga.

“Dengan ruang yang diperoleh, pekerja perlulah mempamerkan komitmen yang tinggi terhadap tugasan yang diamanahkan,“ katanya.

ANEKDOT

Antara tip menarik yang boleh dipraktikkan ketika bekerja dari rumah:

  1. Bersiap seperti bekerja di pejabat. Ia dapat membantu kita menyediakan diri, fikiran dan emosi dari satu transisi ruang di rumah ke ruang pejabat.
  2. Sediakan ruang khusus yang membolehkan kerja dilakukan pada kadar optimum. Ambil kira faktor ergonomik, pencahayaan dan pengudaraan agar tempat kerja sentiasa dalam suasana kondusif walaupun berada di rumah.
  3. Disiplinkan diri dengan sistem atau prosedur amalan yang ditetapkan dan jadikan ia rutin yang wajib dipatuhi.
  4. Berpegang kepada waktu bekerja seperti berada di pejabat.
  5. Jadualkan waktu rehat  yang telah ditetapkan.
  6. Rancang tugasan yang hendak dilakukan.
  7. Gunakan teknologi secara bijaksana untuk kekal berhubung dengan keluarga, saudara-mara,  kawan-kawan selain bos dan rakan sekerja.