JIKA diamati, sebahagian besar ibu bapa pasti mengalami situasi serupa yang mana anak-anak sering jatuh sakit selepas mandi di kolam renang atau tempat rekreasi melibatkan air.

Menurut Public Health Malaysia (PHM), situasi tersebut dikenali sebagai Recreational Water Illness (RWI), merujuk kepada pelbagai jenis penyakit yang mungkin disebarkan oleh kolam renang, kolam air panas, spa, sungai, danau atau laut.

Dimaklumkan, sekiranya air yang mengandungi kuman masuk ke saluran penghadaman, anak anak akan mengalami gejala muntah dan cirit-birit.

Selain itu, kuman yang masuk ke dalam mata dan telinga pula boleh menyebabkan jangkitan pada bahagian tersebut. Mata menjadi pedih dan kemerahan.

Bukan itu sahaja, jika anak-anak mengalami kulit yang luka dan kecederaan, maka kuman boleh memasuki tubuh menerusi luka terbabit.

Ini termasuklah, berlakunya jangkitan pernafasan seperti batuk, sakit tekak dan selsema apabila kuman meruap dan masuk ke saluran pernafasan.

kolam renang
IBU BAPA perlu memastikan anak-anak bebas daripada sebarang luka atau cedera sebelum berenang di dalam kolam.

Persoalannya, bukankah klorin membantu membunuh kuman?

“Ya, bahan kimia yang dimasukkan ke dalam kolam renang seperti klorin sepatutnya membunuh segala macam kuman.

“Namun begitu, sekiranya kolam renang dicemari najis, air kencing dan kekotoran, bahan kimia itu tidak lagi mampu berfungsi dengan sempurna,” tulis kenyataan tersebut baru-baru ini.

Dalam pada itu, PHM juga menyatakan, sekiranya menghidu bau bahan kimia yang kuat di kolam renang, ia adalah bau kotoran, najis dan kencing yang telah bercampur dengan klorin. Hati-hati ya!

Oleh itu, sila peka kepada bau dari kolam renang. Jika menghidu sesuatu kurang menyenangkan itu bermakna kolam tersebut berkemungkinan menjadi punca penyakit berjangkit.

Justeru, semua pihak disarankan memainkan peranan bagi memastikan kebersihan kolam renang. Pastikan:

– Jangan kencing atau membuang najis di dalam kolam renang.

– Jangan biarkan anak- anak mandi sekiranya mereka tidak sihat.

Iklan

– Bersihkan badan di bawah pancuran air sebelum masuk ke kolam renang (ramai yang tidak lakukan).

– Jangan mandi sekiranya mempunyai sebarang luka terbuka.

– Jangan minum air kolam atau berkumur di dalam kolam.

– Gunakan lampin pakai buang khas untuk berenang.

Iklan

KOLAM renang

Ingat ya, air yang biru jangan disangka tiada kuman.

Jangan jadikan percutian ke kolam renang dan taman tema air sebagai punca jangkitan penyakit anak-anak anda.

 

Artikel berkaitan: Berenang sudah dibenarkan, ini SOP bagi sektor sukan dan rekreasi di lokasi PKPB

Sumber: Public Health Malaysia, Canva