PANDEMIK Covid-19 yang melanda dunia sememangnya telah memberi impak buruk kepada kesihatan penduduk dunia. Virus menakutkan itu juga telah meragut jutaan nyawa dan mengubah pola kehidupan masyarakat sehingga mencetuskan norma baharu.

Jika sebelum ini segala perihal pejabat boleh dilakukan secara bersua muka, namun kini segalanya beralih kepada konsep pendigitalan.

Disebabkan itu, segelintir daripada kita mungkin tidak menitikberatkan soal gaya kerana memikirkan ia sekadar interaksi secara maya sahaja.

KOLEKSI Hagia Soultan rekaan Ezuwan Ismail pasti memberikan kepuasan dan memenuhi cita rasa masa kini.

Enggan situasi itu berterusan, pereka fesyen popular, Ezuwan Ismail tampil dengan koleksi eksklusif, Hagia Soultan yang merupakan busana yang direka untuk wanita bekerjaya.

Kata Ezuwan, walaupun sudah banyak organisasi sudah beroperasi seperti biasa, namun masih ada yang kekal berkerja dari rumah atau mengikut sistem penggiliran.

Tidak kira sama ada bertugas di ofis atau dari kediaman, penampilan tetap perlu dijaga, ujar pereka fesyen tersohor itu.

EZUWAN (tengah) bersama barisan model yang menggayakan rekaan koleksi Syawal lalu.

Ya, ini merupakan taruhan sulung Ezuwan menghasilkan rekaan ready to wear berkonsepkan kasual kontemporari, namun pengalaman lebih sedekadnya sudah cukup untuk menterjemahkan segala keinginan wanita dalam soal fesyen.

Berbicara lanjut mengenai Hagia Soultan, ungkap Ezuwan, kekemasan dan perincian dalam setiap busana yang memiliki 13 koleksi rekaan, di samping penggunaan fabrik satin dan neoprene dilihat boleh membuatkan penampilan sang pemakai lebih menyerlah, elegan dan berkarisma.

“Variasi spektrum warna putih, hitam, biru dan merah pastinya menawarkan pelbagai pilihan kepada pengguna termasuk potongan langsing mengikut trend masa kini yang akan memenuhi setiap cita rasa kaum Hawa,” katanya ketika ditemui seusai Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pilihan saiz bermula daripada XS hingga 7XL pastinya memenuhi permintaan setiap wanita untuk menggayakan koleksi yang diinspirasikan dari negara Turki yang sarat dengan keunikan seni bina dan sejarah tamadun Islam.

Terang Ezuwan lagi, selain skirt labuh potongan pensel, Hagia Soultan turut menampilkan seluar slack yang boleh dipadankan dengan jaket.

“Perincian pada jaket yang diserikan dengan butang berona perak atau jaket polos dengan potongan kolar notch sememangnya sesuai dengan gaya wanita semasa,” katanya.

Mula dilancarkan pada akhir Oktober lalu, koleksi tersebut boleh didapati pada harga bermula RM199 hingga RM399 melalui laman web www.hagiasoultan.com.

KLFW 2021

Iklan

Sementara itu, mengulas mengenai KLFW, Ezuwan menarik nafas lega apabila industri kreatif itu kembali beroperasi seperti biasa.

Setelah setahun berehat, beliau mempertaruhkan koleksi busana di pejabat sebagai meluaskan cabang jenamanya di pentas berprestij yang sentiasa dinantikan oleh para pemerhati fesyen tempatan.

Meskipun nuansa fesyen yang diketengahkan berbeza daripada kebiasaan, beliau tidak melihat itu sebagai satu halangan untuknya mencuba sesuatu yang baharu.

KOLEKSI Hagia Soultan sesuai untuk wanita yang ingin tampil bergaya ke pejabat atau bermesyuarat di alam maya.

Melihat kepada peluang yang terbentang luas di depan mata, Ezuwan tanpa ragu telah menampilkan 24 koleksi busana di pejabat di pentas KLFW yang berlangsung pada 6 November lalu.

Teruja dengan penampilan kelima beliau dalam acara itu, pereka berkenaan menganggap koleksi terkininya itu dapat memberi lebih banyak peluang untuk individu di luar sana menggayakan rekaannya yang lebih trendy, meyakinkan dan selesa.

Iklan

“Koleksi yang dipamerkan di KLFW berbeza dengan Hagia Soultan kerana Hagia Soultan merupakan koleksi terhad dan bertaraf eksklusif,” terangnya.

Setiap busana yang dipamerkan di KLFW turut boleh didapati secara dalam talian atau pelanggan boleh mendapatkan terus secara fizikal di butik beliau yang terletak di Taman Dagang, Ampang Selangor.

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram