TIDAK dapat dinafikan ada sesetengah individu yang cepat sangat berasa lapar meskipun baru sahaja menjamah makanan.

Jika anda berhadapan dengan situasi sebegitu, sebenarnya mungkin ada yang tidak kena dengan pilihan makanan yang dimakan.

Kepada mereka yang hendak berdiet pula, pastinya anda tercari-cari makanan yang memberikan kesan kenyang berpanjangan, bukan? Nasi sememangnya diletak ke tepi awal-awal lagi.

Jangan khuatir, terdapat pelbagai jenis makanan lain yang boleh menjadi pilihan agar diet yang dilaksanakan berjaya dan angka pada penimbang tidak ‘menghantui’ diri lagi.

Berikut SinarPlus kongsikan makanan yang akan membuatkan perut kenyang dalam jangka masa lama seperti yang dikongsikan oleh laman perubatan, klikdokter.com:

1. AVOKADO

Avokado adalah sejenis buah yang kaya dengan serat dan dipenuhi dengan pelbagai jenis lemak baik.

Selain itu, ia juga mengandungi protein yang mampu membuatkan perut kenyang dan berasa kurang lapar.

Ketahuilah bahawa, dalam 100 gram (g) avokado mengandungi 160 kalori yang terdiri daripada 73 peratus air, 8.5 peratus karbohidrat (terutama serat), 15 peratus lemak dan 2 peratus protein.

Walaupun mengandungi banyak lemak dan serat, avokado tidak menyebabkan kenaikan gula darah dengan cepat.

Jadi, tidak menghairankan mengapa avokado adalah makanan yang perlu dipilih semasa proses diet.

2. TELUR

Telur mengandungi sumber protein yang baik untuk tubuh. Dalam satu biji telur ayam yang cukup besar, ia mengandungi kira-kira 6g protein dan 9 asid amino.

Satu kajian yang diterbitkan dalam International Journal of Obesity menyatakan bahawa, makan dua biji telur pada waktu pagi akan membuatkan seseorang itu kurang lapar hingga tengah hari, jika dibandingkan dengan makan roti biasa.

Kajian tersebut juga mendapati penurunan hormon ghrelin (hormon yang dapat merangsang otak untuk memberi rasa lapar) pada orang yang makan dua biji telur pada waktu pagi.

3. BADAM

Badam adalah kacang yang kaya dengan nutrien. Makanan kenyang tahan lama tersebut mengandungi asid lemak yang terdiri daripada asid lemak omega-p, asid lemak omega-3, asid lemak omega-6 dan asid palmitik.

Selain itu, kacang almond juga mengandungi protein, serat, karbohidrat, vitamin E, vitamin B, kalsium dan zat besi. Semua nutrien tersebut sebenarnya dapat membuat perut terasa lebih kenyang.

Oleh itu, kira-kira satu genggaman tangan sahaja perlu dimakan.

Selain dapat dimakan secara langsung, boleh mencampurkan badam dengan kacang lain untuk menjadikan variasi campuran dalam makanan.

4. EPAL

Epal mengandungi pektin yang dapat memberikan kesan kenyang yang lebih lama kerana melambatkan proses pencernaan.

Sebaiknya, pastikan kulit epal dikupas dan dibasuh dengan bersih.

Epal bersaiz sederhana atau berat sekitar 100g mengandungi sekurang-kurangnya 52 kalori, 86 peratus air, 0.3 peratus protein, 13.8 peratus karbohidrat, 10.4 peratus gula, 2.4 peratus serat dan hanya 0.2 peratus lemak.

Walaupun mengandung gula dan karbohidratnya agak tinggi, usah risau kerana epal mempunyai indeks glisemik rendah, iaitu sekitar 29 hingga 44 sahaja.

Oleh itu, tidak menghairankan bahawa banyak pakar diet mengatakan bahawa epal adalah makanan yang boleh membuatkan perut kenyang dalam tempoh yang lama.

5. BROKOLI

Brokoli mengandungi serat dan vitamin seperti vitamin A, vitamin B, vitamin C dan vitamin K.

Di samping itu, brokoli juga kaya dengan kalsium, zat besi dan kalori kerana ia adalah makanan berserat dan rendah kalori.

Oleh sebab itulah, brokoli sangat sesuai untuk mereka yang sedang berdiet.

Baca juga Azam kurus tahun lepas tak menjadi, apa kata cuba mulakan diet ‘eat clean’ ini

Dalam satu cawan brokoli, membekalkan hampir 5g serat.

Kandungan serat berkenaan membantu membuatkan perut merasa kenyang lebih lama dan mengelakkan mereka mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak.

6. KEKACANG

Kekacang seperti kacang peas dan kacang soya sangat kaya dengan serat, protein, antioksidan, vitamin B dan zat besi.

Bukan itu sahaja, kacang mempunyai kandungan lemak yang tinggi, tetapi rendah kandungan kalorinya.

Iklan

Menambah kacang ke dalam menu diet harian bukan sahaja membantu menyihatkan tubuh badan, sebaliknya memberi kesan yang sangat memuaskan kepada proses menurunkan berat badan.

7. BIJI CHIA (chia seed)

Walaupun saiznya kecil, biji chia adalah sumber yang dipenuhi dengan nutrient.

Menariknya, biji chia mengandungi serat, karbohidrat, omega-3, protein, antioksidan dan kalsium.

Kandungan serat dan protein yang tinggi dalam biji chia membantu ‘menindaskan’ selera makan.

Anda boleh memakannya pada waktu pagi kerana biji chia sangat membantu untuk ‘menahan’ lapar sehingga tengah hari.

Cara lainnya, tambahkan biji chia ke dalam minuman smoothie atau yogurt untuk rasa yang berbeza.

8. OAT

Oat sering menjadi pilihan sarapan yang sihat.

Tidak dapat dinafikan, oat dikenali sebagai makanan yang rendah kalori dan sumber serat yang dapat dicerna oleh badan.

Jenis serat tersebut juga disebut beta gluken dan menjadikan badan berasa kurang lapar.

Iklan

Satu kajian yang diterbitkan di PubMed menyimpulkan bahawa orang yang makan oat semasa bersarapan akan merasa kenyang lebih lama daripada orang yang makan bijirin.

9. KEJU COTTAGE

Keju terutama jenis cottage adalah salah satu makanan yang membuatkan anda rasa kenyang dalam tempoh yang lama.

Keju cottage adalah produk tenusu yang tinggi protein tetapi mempunyai rendah lemak dan karbohidrat.

Seperti memakan telur, kandungan protein yang tinggi dalam keju akan membuat perut kenyang lebih lama.

10. YOGURT GREEK

Yogurt Greek dipercayai merupakan salah satu pilihan makanan yang mengenyangkan.

Untuk pengetahuan pembaca, yogurt Greek sangat berbeza dengan yogurt biasa.

Sekiranya diperhatikan dengan lebih teliti, konsistensi yogurt Greek lebih tebal.

Bagi mereka yang sedang menjalani diet, yogurt Greek biasanya ditambahkan ke dalam menu diet sebagai sarapan atau makanan ringan.

Sebaik sahaja anda makan yogurt Greek, jaminan untuk perut berasa kenyang sangat tinggi kerana ia mempunyai kandungan protein yang sangat banyak.

Oleh itu, buat pembaca SinarPlus yang dalam proses berdiet, cubalah amalkan 10 jenis makanan yang disarankan itu. Semoga perkongsiaan ini bermanfaat untuk semua. #kitajagakita