PERSONALITI menarik dengan gaya fesyen terkini tidak mampu menjadi ‘perisai’ sekiranya mempunyai masalah kaki berbau.

Cakap-cakap nakal kata, baunya ia umpama bau tikus mati. Bunyinya macam agak kejam, tetapi itu hakikat yang terjadi pada ramai orang sebenarnya.

Situasi itu bukan sahaja menjejaskan imej, tetapi boleh jadi putus kawan dibuatnya!

Kepada anda yang berdepan dengan masalah seperti itu, jangan risau, SinarPlus sedia membantu.

Berikut antara tindakan yang segera yang boleh diambil dengan menggunakan beberapa bahan yang mudah dibeli di kedai atau farmasi:

1. Garam epsom

  • Garam ini kaya dengan magnesium sulfat dan oksigen.
  • Ia mampu memberikan kelembapan kulit sekali gus menghalang pertumbuhan bakteria yang menjadi punca kaki berbau.
  • Caranya, campurkan garam epsom ke dalam sebuah bekas sehingga larut.
  • Kemudian rendam kedua-dua belah kaki selama 10 hingga 15 minit dan seterusnya bilas.

 

2. Cuka

  • Pastikan cuka yang digunakan sesuai iaitu cuka makanan, jangan pula guna cuka getah! Nanti kaki melecur macam babak drama pukul 7 dekat TV.
  • Campurkan beberapa sudu cuka (mengikut saiz bekas yang digunakan) ke dalam air dan rendam kaki selama 10 hingga 20 minit.
  • Lakukan seminggu sekali, tetapi harus diingat bahawa pastinya kaki anda tidak mempunyai sebarang luka. Kalau tidak, memang pedih!

3. Pembasmi kuman

  • Penggunaan pembasmi kuman yang dikhususkan untuk penggunaan pada bahagian kaki dapat mengurangkan bau busuk.
  • Sekiranya ingin digunakan pada kasut, gunakan pembasmi kuman biasa dan paling terbaik sekiranya memiliki kandungan ethanol atau bahan-bahan yang mampu membunuh bakteria.
  • Caranya dengan mengeluarkan pelapik kasut dan sembur penyembur pembasmi kuman.
  • Kemudian biarkan kering lama 24 jam sebelum kasut tersebut sedia dipakai semula.

Iklan

4. Tepung jagung

  • Bagi memastikan kaki anda kekal kering, boleh lumurkan tepung jagung sebelum memakai kasut.
  • Tepung jenis ini dipercayai dapat mengekalkan kelembapan dan mengelakkan kaki berbau.

5. Deodoran

  • Jangan terkejut! Deodoran tidak hanya berfungsi untuk mengawal bau badan, tetapi ia juga dapat menghilangkan bau kaki.
  • Memiliki sifat antipeluh, deodoran mampu memastikan kaki kekal kering dan mengawal kadar kelembapan.

Bagaimana? Mudah sahaja kan untuk atasi masalah yang rumit itu.

Iklan

Diharapkan perkongsian SinarPlus ini dapat membantu anda yang mengalami masalah kaki berbau.

Menariknya, semua boleh diamalkan di rumah sahaja dengan kos yang minimum.

Paling utama, anda kena pastikan penjagaan kesihatan seperti memotong kuku, kerap menukar stokin dan elak memakai kasut yang sama setiap hari.

Selamat mencuba 🙂