JANGAN terkejut amalan mempercayai mitos tidak hanya melibatkan proses berpantang, pemakanan, diet ataupun aktiviti bersenam.

Bahkan, dalam rutin penjagaan wajah juga terdapat bermacam-macam mitos sehingga menyebabkan golongan wanita yakin dan mengamalkannya.

Impaknya, kulit wajah mengalami iritasi, keradangan dan pertumbuhan jerawat melampau gara-gara mempraktikkan rutin yang ‘diajar’ oleh mitos.

Perkara tersebut diakui oleh editor kecantikan Stephanie Darling dari Australia.

Menerusi penulisan beliau baru-baru ini, Darling yang memiliki pengalaman selama 35 tahun dalam bidang kecantikan berkongsi tiga mitos melibatkan produk dan rutin penjagaan wajah.

Mitos 1: Mengecilkan liang pori

wajah
AMALAN memakai topeng muka membantu menanggalkan kotoran dan minyak yang melekat pada liang pori.

Kita sentiasa mendengar sesebuah produk atau rutin khas mampu mengecilkan liang pori.

Walhal, ironinya liang pori tidak boleh dikecilkan kerana ukurannya sudah ditentukan sebelum dan bergantung susunan genetik kulit wajah.

Liang pori akan terbuka dan kelihatan jelas kerana fungsinya yang bertindak menangkap kotoran dan minyak.

Oleh itu, penggunaan pembersih wajah dan topeng untuk mengeluarkan kotoran dalam liang pori hanya menjadikannya ia kelihatan lebih kecil, tetapi bukan mengecilkan.

Pun begitu, bagi memastikan kulit wajah tampak licin apabila bersolek pastikan korang menggunakan primer sebelum mengoles krim asas.

Mitos 2: Krim asas SPF mencukupi

wajah
PASTIKAN setiap hari kulit wajah dilapisi krim pelindung cahaya matahari bagi mengelakkan kerosakan kulit dan jeragat.

Wanita sering diingatkan supaya wajib mengaplikasikan krim pelindung cahaya matahari setiap hari sama ada berada di dalam ataupun di luar rumah.

Bagaimanapun, tidak dinafikan segelintirnya mempercayai bahawa penggunaan krim asas yang mengandungi SPF sudah memadai membantu melindungi kulit daripada sinaran Ultra Violet (UV).

Mitos itu harus dihakis kerana kita sememangnya memerlukan krim sinaran UV selama 365 hari dalam setahun berbanding krim asas SPF bagi membantu mencegah kerosakan dan barah kulit serta penuaan.

Iklan

Caranya mudah sahaja selepas memakai krim pelembap, maka ia disusuli pula krim pelindung cahaya matahari.

Mitos 3: Ubat gigi rawat jerawat

wajah
KANDUNGAN di dalam ubat gigi tidak sesuai digunakan untuk merawat jerawat.

Konsep merawat jerawat menggunakan ubat gigi adalah mengundang kemudaratan pada kulit wajah.

Perlu difahami, bahan-bahan dalam ubat gigi seperti mentol dan hidrogen peroksida boleh menyebabkan kerengsaan dan keradangan kulit.

Iklan

Sebaik-baiknya, elak menggunakan produk untuk gigi, sebaliknya atasi jerawat dengan produk yang mengandungi ramuan seperti benzoil peroksida yang membunuh bakteria penyebab jerawat.

Ini termasuklah, asid salisilik yang membantu menjaga kebersihan pori agar tidak tersumbat dan asid alfa hidroksi untuk membantu membuang sel-sel kulit mati.

Selamat mencuba!

Artikel berkaitan(VIDEO) Petua mudah pudarkan parut jerawat, 4 bahan ini penting

Sumber: www.smh.com.au dan Canva