TAHUN Baru Cina sememangnya tidak lengkap kalau tiada lauk cendawan masak sos tiram.

Pensyarah Sains di sebuah kolej swasta, Dr Magaret Sivapragasam berkata, berdasarkan kepercayaan masyarakat Cina, cendawan merupakan simbol panjang umur.

Katanya, salah satu daripada cendawan paling gemar dijadikan menu masakan adalah cendawan shiitake iaitu sejenis kulat (fungi) yang berasal dari Asia Timur.

Menurut laman web verywellfit.com, cendawan shiitake tumbuh atas permukaan kayu reput dan kebanyakannya didapati berasal dari negara Jepun, Amerika Syarikat, Kanada, Singapura selain China yang merupakan negara pengeluar cendawan shiitake.

Kata Dr Magaret, terdapat dua versi cendawan shiitake iaitu kering dan segar yang mana biasanya jenis kering sering digunakan dalam masakan.

“Cendawan shiitake kaya dengan serat larut dan tidak larut dan ia juga mengandungi vitamin A, B2, B12, C, D, dan mineral seperti magnesium, kalium dan zat besi.

“Cendawan kering shiitake kaya dengan 5-guanosine monophosphate dan vitamin D berbanding dengan cendawan shiitake segar kerana sebatian kimia yang bertanggunjawab memberikan aroma unik cendawan shiitake adalah lenthionine,” jelas Dr Magaret di entri Facebooknya.

Bagaimanapun, apabila memasak cendawan kering, pesan Dr Magaret, pastikan suhu air yang digunakan untuk merendamnya bersesuaian.

Iklan

Ini kerana air dingin seperti air paip adalah lebih sesuai untuk membuatkan cendawan kering kembang dan mengekalkan aroma rasanya.

Untuk pengetahuan semua pembaca SinarPlus, merendamnya di dalam air panas iaitu 70 darjah Celsius dan ke atas akan mengurangkan rasa kelazatannya dan akan mengurangkan rasa aromanya.

Iklan

Sebagai informasi tambahan, air rendaman cendawan shiitake kering boleh digunakan untuk menambahkan rasa pada sup dan semasa menggoreng tau! Cubalah tip ini dan selamat menyambut Tahun Baru Cina. Selamat merehat-rehatkan minda jua!