MASALAH pedih ulu hari sering terjadi kepada individu yang mengalami rasa sakit kepedihan di bahagian atas perut atau bahagian bawah dada.

Penyakit ini juga dikenali sebagai Gastro Esophageal Feflux Disease (GERD) yang mana boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

Menurut laman web doctoroncall.com, rasa sakit pada bahagian dada sering berlaku selepas individu tersebut bongkok atau makan.

“Pesakit juga sering kali berasa sensasi membakar di bahagian belakang kerongkong atau seperti ada cecair yang terasa panas, masam, berasid atau masam dalam kerongkong.

“Pesakit akan rasa seperti tali pinggang sedang diperketatkan di sekitar dada anda. Sakit akan merebak ke bahu sebelah kiri, leher, rahang atau lengan anda,” jelas web tersebut.

Terdapat beberapa faktor yang boleh dikaitkan dengan kejadian tersebut antaranya, pengambilan kafein berlebihan, minuman berkarbonat, jus berasid (limau, nanas, tomato), coklat, asap rokok dan makanan berlemak.

Dalam pada itu, rasa pedih ulu hati juga sering berlaku kepada individu yang mengalami obesiti atau berat badan berlebihan.

Oleh itu, terdapat pelbagai cara yang disyorkan oleh pakar perubatan sebagai langkah usaha menangani gejala pedih ulu hati.

Berikut SinarPlus senaraikan beberapa perkara yang boleh dilakukan:

1. Ubah gaya pemakanan

Mengamalkan diet seimbang dan pengambilan makanan sihat dapat membantu mencegah berlakunya peningkatan pengeluaran asid dalam perut yang dikhuatiri menyebabkan asid refluks masuk ke dalam saluran makanan. Sebaiknya kurangkan pengambilan makanan yang berlemak dan berminyak.

Selain itu kurangkan pengambilan kafein, makanan pedas, susu penuh krim, minuman berkarbonat, makanan ringan, tomato, limau atau jus oren.

2. Posisi duduk

Selepas selesai makan, sebaiknya elakkan diri daripada berbaring atau melakukan kerja berat seperti mengangkat barang. Situasi ini akan menyebabkan berlakunya tekanan di dalam perut.

3. Berhenti merokok

Sejak dahulu lagi amalan merokok ini sudah jelas dan nyata ditentang kerana merugikan dan mengakibatkan banyak mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan.

4. Turunkan berat badan

Iklan

Kerap berasa pedih ulu hati merupakan salah satu petunjuk bahawa sudah tiba masanya untuk mengawal pengambilan makanan. Hal ini kerana pedih ulu hati merupakan salah satu tanda obesiti.

Oleh itu, anda dinasihatkan agar mengambil makanan dalam jumlah yang kecil dan lebih kerap. Elakkan daripada makan dalam jumlah berlebihan sebanyak dua atau tiga kali sehari.

5. Tukar posisi tidur

Sekiranya gangguan pedih ulu hati berlaku pada waktu malam terutama ketika ingin tidur, cuba naikkan kepala sekitar enam inci.

Iklan

Kaedah ini secara tidak langsung dapat mengelakkan makanan dan asid perut naik semula ke salur makanan disebabkan daya tarikan graviti.

Sekiranya masalah pedih ulu hati menjadi lebih serius, sebaiknya segera mendapatkan rawatan dan nasihat doktor bagi mengelakkan perkara tersebut berlarutan.

Anda juga berkemungkinan terdedah kepada penyakit kanser esofagus, masalah pernafasan, esofagitis dan masalah menelan dalam jangka masa panjang jika tidak mendapatkan rawatan awal.

Dapatkan nasihat daripada doktor atau pakar farmasi mengenai ubat antasid bagi mengurangkan keradangan pada bahagian perut.