BIPOLAR ialah gangguan tersembunyi yang biasanya menjadi ancaman dalaman pada diri seseorang walaupun kadangkala fizikalnya kelihatan sihat. Minda bercelaru, fikiran tidak tenang dan gusar untuk menguruskan diri antara simptom yang lazim dihadapi oleh penghidapnya.

Akibatnya boleh berlaku perubahan emosi yang drastik sama ada terlalu sedih mahupun sebaliknya. Lebih membimbangkan, ia boleh menjadi lebih parah apabila individu tersebut gagal mengawal perubahan dirinya sendiri.

Hasil kajian Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 mendapati, 29.2 peratus rakyat Malaysia mengalami tekanan atau masalah kesihatan mental. Data menunjukkan, tiga daripada 10 individu berusia 16 tahun ke atas mempunyai masalah itu. Daripada jumlah tersebut, wanita menunjukkan kadar yang sedikit tinggi berbanding lelaki.

Sedar atau tidak, bipolar sebenarnya adalah satu penyakit, namun ramai yang beranggapan ia bukanlah ‘bebanan’ yang perlu dikhuatiri. Melihat dari segi fizikal, banyak stigma menganggap, penghidap bipolar hanyalah individu yang kelihatan sangat pelik hingga pelbagai tohmahan dilemparkan.

Sungguhpun begitu, ketahuilah mereka langsung tidak meminta untuk diberi ujian sedemikian rupa. Apakah sebenarnya yang membelenggu seseorang penderita gangguan bipolar? Adakah terdapat formula bagi mengubatinya? Ikuti kupasan Sinar Plus mengenai gangguan tersembunyi itu pada minggu ini.

​​​​Bipolar boleh sebabkan pesakit murung atau gembira melampau

PADA Julai 2017, beliau didiagnos menghadapi kemurungan yang teruk atau dikenali sebagai major depressive disorder (MDD).

Selama empat bulan, hari-hari dilaluinya penuh meresahkan. Nor Syamimi Musa, 29, dirundung kesedihan yang berpanjangan tanpa sebab.

 

gangguan, bipolar
NOR Syamimi Musa.

Dalam masa sama, berat badannya turun mendadak. Rasa ingin marah pula terlalu membuak-buak. Lebih teruk, kadangkala wanita muda itu berasa tiada lagi harapan untuk hidup. “Saya rasa, diri ini manusia paling tidak berguna.

Saya sering terbayang kematian itu datang dengan tiba-tiba. “Pernah saya berhadapan situasi sukar seakan-akan ingin menetak tangan sendiri ketika memotong ayam dengan menggunakan pisau,” kata wanita berasal dari Taiping, Perak itu.

Pada satu tahap, graduan Ijazah Sarjana Muda Farmasi Universiti Malaya itu mulai sedar, situasi yang dialaminya adalah sesuatu yang tidak normal. Beliau mula berjumpa pakar sejak Julai 2018. Disember tahun lalu, rutinnya barunya ialah mematuhi jadual bagi merawat bipolar II dideritanya.

Ya, jarang sekali masyarakat kita menyebut tentang penyakit bipolar. Menurut Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), penyakit itu biasanya berlaku pada usia muda iaitu pada purata 18 tahun bagi bipolar I dan 20 tahun bagi bipolar II.

Menyingkap kajian yang dijalankan oleh Inisiatif Penyelidikan Kesihatan Mental Dunia yang melibatkan 11 negara, kadar prevalens sepanjang hayat untuk penyakit bipolar I adalah 0.6 peratus berbanding 0.4 peratus untuk bipolar II.

Seperti gejala yang dialami Nor Syamimi, timbul persoalan bagaimana penyakit berkenaan boleh dihadapi seseorang? Sinar Plusmendapatkan pandangan Pakar Psikiatri dan Pensyarah Kulliyyah Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Rozanizam Zakaria bagi menjawab persoalan.

Bersifat kronik

Gangguan mental yang lazim berlaku adalah jenis kecelaruan perasaan hati (mood) atau emosi. Kesannya mempengaruhi kestabilan emosi, fikiran dan tingkah laku seseorang. Kongsi Dr Rozanizam, gangguan mood yang paling lazim didengari adalah jenis kemurungan.

Agak pelik, menurutnya, bagaimanapun, gangguan mood itu juga boleh berlaku dalam bentuk berlawanan kepada kemurungan yang dipanggil sebagai mania atau hypomania. “Itu yang dipanggil sebagai gangguan bipolar.

“Ia merujuk kepada dua ‘kutub’ emosi yang berbeza yang boleh berlaku kepada individu tersebut,” jelas Dr Rozanizam kepada Sinar Plus. Gangguan jenis bipolar biasanya mula berlaku pada fasa penghujung remaja atau awal dewasa kerana penyakit berkenaan bersifat kronik.

DR Rozanizam.

Dr Rozanizam yang juga Naib Presiden II, Ikatan Pengamal Perubatan Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia berkata, justeru lazimnya penderita gangguan bipolar memerlukan rawatan berterusan pada fasa yang panjang.

Jenis-jenis bipolar

Terdapat beberapa jenis gangguan bipolar yang biasa berlaku seperti bipolar I dan bipolar II. Bipolar I hanya ditunjukkan oleh gangguan mania, sementara bipolar II pula, pesakit mengalami kedua-dua jenis gangguan iaitu kemurungan dan hypomania atau mania.

Kongsi Dr Rozanizam, mania bermaksud gangguan emosi yang menyebabkan pesakit mengalami perasaan gembira yang melampau, mudah marah atau berasa bertenaga dan memiliki banyak idea.

“Dalam masa yang sama, mereka juga mengalami tanda-tanda seperti kurang tidur, fikiran yang laju, banyak bercakap, keyakinan diri yang meningkat dan fokus fikiran yang mudah terganggu. “Seseorang hanya dikira mengalami keadaan mania apabila berada dalam keadaan tersebut secara berterusan selama lebih dari seminggu,” katanya.

Terang Dr Rozanizam, hypomania pula adalah keadaan yang sedikit kurang teruk berbanding mania. Gejalanya berlaku dalam tempoh yang lebih singkat iaitu antara empat ke tujuh hari.

Kepada persoalan, adakah penyakit itu seakan-akan kemurungan? Jawabnya, sebahagian pesakit yang mengalami bipolar turut mengalami gejala kemurungan pada masa yang sama atau berlainan daripada mania.

Gejala kemurungan dalam bipolar itu pula bersifat sama seperti kemurungan yang dihadapi oleh pesakit MDD. Kongsi Dr Rozanizam lagi, gejala tersebut adalah seperti perasaan sedih yang berpanjangan, hilang minat, gangguan selera dan gangguan fikiran dalam bentuk idea mencederakan diri atau rasa putus asa.

Namun, perbezaan yang ‘wajib’ ada dalam pesakit bipolar ialah mereka turut mengalami episod mania atau hypomania. “Ini bermakna jika seseorang pesakit mengalami kemurungan, kemudian pada fasa yang lain mengalami gangguan mania pula, diagnosa penyakitnya akan disebut sebagai gangguan bipolar dan bukan lagi sekadar kemurungan major (MDD),” terangnya.

Gambaran tidak tepat

Biasa melihat lakonan pesakit yang digambarkan mempunyai pelbagai personaliti atau boleh berubah personaliti dalam sekelip mata seperti dalam filem dan drama?

Kata Dr Rozanizam, ia adalah gambaran yang tidak tepat mengenai penyakit itu. Tegasnya, falam gangguan bipolar, perubahan hanya berlaku terhadap emosi dan tingkahlaku berdasarkan gejalanya. “Perubahan pula berlaku dalam bentuk yang tidak ketara, namun berterusan.

“Jadi, gambaran pesakit boleh berubah dalam sekelip mata dan kembali normal keesokkan harinya adalah gambaran yang terseleweng daripada keadaan sebenar gejala berkenaan,” terangnya lagi.

Dr Rozanizam berkongsi, seperti kebanyakan penyakit mental yang lain, bipolar ialah penyakit multifaktoral yang tidak mempunyai sebab khusus. “Ia berlaku hasil interaksi antara faktor biologi dan persekitaran.

“Hal itu termasuk risiko keturunan, sejarah penggunaan dadah, pendedahan kepada stres yang melampau dalam tempoh waktu yang berpanjangan atau trauma psikologi yang memberi kesan kepada emosi,” katanya.

Rawatan

Berkisar mengenai rawatannya, Pakar Psikiatri Hospital Pulau Pinang, Dr T Dandaithapani berkongsi kaedahnya. Kongsi Dr Dandaithapani, lazimnya lebih kurang 0.6 peratus hingga 1.1 peratus daripada populasi dijangka mengalami penyakit gangguan bipolar.

DR Dandaithapani.

Menjelaskan berhubung rawatan gangguan bipolar, beliau menerangkan ia boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu rawatan ubat-ubatan, terapi psikologi dan sokongan sosial.

“Ketiga-tiga rawatan tersebut biasanya akan dijalankan secara serentak, namun mengikut keperluan,” ujarnya. Selain itu, rawatan yang diberikan juga boleh dibahagikan kepada rawatan akut dan rawatan susulan.

Apa yang pasti katanya, fungsi utama ubat-ubatan yang akan diberikan adalah untuk menstabilkan dan mengembalikan mood kepada keadaan biasa. “Ubat yang biasa digunakan adalah penstabil mood, ubat antikemurungan dan antipsikotik. Jenis ubat akan ditentukan oleh doktor.

“Selain ubat-ubatan, terapi psikologi yang biasa dilakukan adalah seperti terapi perilaku kognitif, terapi irama sosial interpersonal dan pendedahan pendidikan tentang penyakit kepada pesakit dan keluarganya,” kata Dr Dandaithapani.

Justeru, sokongan sosial terutamanya oleh keluarga adalah sangat penting, selain mendapatkan rawatan awal selepas mengenalpasti penyakit supaya ia tidak berulang, katanya. Di akhir perkongsian, beliau berharap pesakit sentiasa mengambil ubat seperti yang dinasihatkan oleh doktor dan menepati temujanji rawatan.

Berbalik kepada kes Nor Syamimi di awal tadi, beliau turut mengakui, keadaan kini jauh lebih baik selepas berjumpa pakar dan masih meneruskan rawatan.

‘Mereka juga boleh berjaya’

MENGHIDAP penyakit gangguan bipolar bukanlah penghalang untuk mengecap sesuatu kejayaan dalam hidup. Hal itu dibuktikan kerana ramai pesakit itu yang boleh berjaya seperti menjadi ahli perniagaan yang terkenal atau dikenali sebagai individu-individu yang berpangkat tinggi di Malaysia.

Iklan

Pakar Psikatri merangkap Pengarah Pusat Komuniti dan Kelestarian Universiti Malaya, Dr Amer Siddiq Amer Nordin berkata, bagaimanapun, tiada jalan pintas untuk berjaya sembuh melainkan dengan menerima rawatan.

DR Amer Siddiq.

Menurutnya, apa yang penting, jangan pernah gagal mengambil ubat dan berusaha memperbaiki diri sendiri. “Ramai individu terkenal sering dikaitkan dengan penyakit tersebut antaranya, Britney Spears dan Winston Churchill.

bipolar
PESAKIT bipolar juga boleh berjaya seperti individu lain.

“Pesakit bipolar penting diberi rawatan awal kerana simptom mania boleh menjerat diri sendiri,” kongsi Dr Amer dalam penulisannya di mentalhealth.my.

Jelasnya, mengikut pengkaji terkenal bipolar dari Turki, Akiskal, terdapat pelbagai varian terhadap penyakit bipolar berkenaan.

Penyakit berkenaan hanya dihadapi oleh lebih kurang satu peratus rakyat sahaja, kata Dr Amer. Pun demikian, mereka perlu mengambil ubat yang dipanggil mood stabiliser yang mana jika rawatan awal diberikan, keadaan pesakit akan lebih terkawal.

ANEKDOT

Simptom-simptom penyakit bipolar

1. Simptom bipolar ketika fasa mania adalah:

– Mempunyai keyakinan diri yang tinggi.

– Terlebih aktif.

– Kurang tidur dengan ketara.

– Kurang selera makan dan kurang berat badan.

– Bercakap dengan laju.

– Idea yang terlampau banyak.

– Tidak dapat fokus.

Iklan

– Suka melakukan aktiviti yang banyak dan berlebihan sehingga boleh mencederakan diri sendiri.

– Suka berbelanja tanpa melihat berapa banyak yang dibelanjakan.

– Menjadi agresif.

2. Simptom bipolar ketika fasa murung adalah:

– Merasa sedih dan tiada harapan.

– Tidak mempunyai minat dalam perkara yang disukai dibuat sebelum ini.

– Susah tidur.

– Nampak tidak bertenaga.

– Merasa bersalah dan kurang keyakinan diri.

– Sentiasa berfikiran negatif.

– Merasa hidup tidak bermakna.

– Jika teruk, akan muncul idea untuk membuat perancangan membunuh diri pada individu tersebut.

Seperti mana-mana penyakit mental yang lain, bipolar turut menyebabkan pekerjaan, gaya hidup dan perkara-perkara penting lain terjejas.

Sumber: https://thediagnosa.com