ALIA BASTAMAM merupakan jenama yang tidak asing lagi dalam industri fesyen tanah air. Sentuhannya menjadi dambaan para VVIP. Beberapa selebriti tersohor seperti Neelofa dan Scha Al-Yahya bukan sahaja memilih untuk menyarung busana label itu, malah turut berkolaboratif dalam projek istimewa.

Sekitar November lalu, Alia Bastaman tampil pada Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) di Kuala Lumpur. Seperti biasa, jenama itu sentiasa menonjol.

Menurut perekanya, Alia Bastamam, mereka mengetengahkan dua koleksi baharu seraya meraikan kedatangan tahun 2022. Bertemakan kegembiraan dan keindahan panorama laut sambil bercanda di pesisir pantai, mereka menterjemahkan segala emosi itu dalam rekaan yang diberi nama Joy dan Cascade.

REKAAN koleksi Joy dan Cascade mencakupi setiap keinginan dalam bergaya dan menyerlahkan penampilan terutama saat berlibur tidak kiralah dalam rekaan kaftan, skirt labuh atau pendek.

“Joy merupakan koleksi baharu bagi Alia B, manakala Cascade merupakan asimilasi rekaan terbaik Alia dalam meraikan 10 tahun jenama Alia Bastamam,“ katanya ketika ditemui seusai KLFW baru-baru ini.

Pereka fesyen popular itu menambah, koleksi terkininya juga mencerminkan nuansa keghairahan dalam meraikan kebebasan setelah dua tahun ‘terperangkap‘ di dalam rumah ekoran pandemik Covid-19.

“Apa yang saya ingin tonjolkan dalam Joy adalah penghidupan semula dan segalanya kembali seperti sediakala.

KOLEKSI produk seperti selipar, sandal, beg tangan dan beg silang merupakan kerjasama dengan Havaianas.

Diharapkan pandemik ini akan berakhir dan kita dapat menjalani rutin yang lebih gembira selepas ini,“ tuturnya.
Kepada SinarPlus, Alia memberitahu, himpunan Joy turut memperlihatkan kerjasama pihaknya dengan Sangon menerusi barisan perhiasan seperti subang, anting-anting dan rantai, manakala selipar, sandal, beg tangan dan beg silang di bawah naungan Havaianas.

“Sangon merupakan jenama dari Sarawak yang dilihat mampu pergi jauh dan saya mengharapkan jalinan ini bukan sahaja memperkenalkan label mereka, tetapi lebih daripada itu,“ katanya.

Elemen mewah

Mengulas mengenai koleksi Cascade pula, Alia berkata, ilusi fantasi seakan berada di tepian pantai menjadi elemen utama yang diterapkan. Rangkaian busana dihiaskan dengan siluet yang menjadi ikonik kepada jenama beliau.

Ciri-ciri eksklusif disuntik bagi menjadikan setiap rekaan kelihatan mewah, sekali gus menyerlahkan pesona dan tarikan kewanitaan.

“Pada saya, Cascade bermaksud aliran yang menjadi simbolik kepada tempoh 10 tahun kami bertahan dan pada masa sama, menyerlahkan personaliti dan sifat kelembutan kaum Hawa.

JALINAN usahasama dengan Sangon menerusi barisan perhiasan seperti subang, anting-anting dan rantai.

“Siluet resort yang terbaik juga menjadi tarikan dan ia merupakan identiti bagi koleksi Alia Bastamam. ‘Karakter‘ itu juga menjadi permintaan pelanggan dan rakan jenama. Oleh itu, saya kaji semula himpunan terdahulu dan hidupkan semula dengan memberi nafas baharu kepada koleksi ini,“ terang Alia panjang lebar.

Apa yang dapat disimpulkan, Joy dan Cascade mencakupi setiap keinginan dalam bergaya dan menyerlahkan penampilan seseorang terutama saat berlibur tidak kiralah dalam rekaan kaftan, skirt labuh atau pendek.

Misi 2022

Iklan

Ketika kami bersembang, Alia sempat berkongsi keazamannya pada tahun baharu 2022. Beliau mahu terus mengukuhkan jenama Alia Bastamam tidak hanya pada pasaran domestik, tetapi di peringkat antarabangsa.

Meskipun sudah memiliki pengikut di luar negara seperti di Britain, Australia dan Amerika Syarikat, Alia bagaimanapun ingin melebarkan pengaruhnya ke beberapa negara lain.

ALIA BASTAMAM

Selain menaruh impian tinggi dan mengharapkan agar tahun 2022 lebih membawa tuah tidak hanya kepada beliau, tetapi turut meliputi seluruh rakyat Malaysia, wanita itu juga ingin menjadikan jenamanya sinonim dengan pusat peranginan tempatan.

Tidak kira sama ada di resort atau hotel, Alia ingin menempatkan produknya seperti yang dilakukan di The Datai Langkawi, Kedah.

Iklan

“Ini merupakan satu permulaan baharu untuk tahun hadapan dan saya berharap akan ada lebih banyak lagi peluang sebegini,“ luah Alia dengan penuh kesungguhan.

Kepada pembaca SinarPlus yang mahu mendapatkan semua koleksi Alia Bastamam secara fizikal atau dalam talian, boleh layari www.aliabastamam.com. Tawaran pembayaran secara ansuran juga disediakan bagi pembelian secara online.

Pada masa sama, jenama Alia Bastamam turut menjalinkan kerjasama dengan Kumpulan Ambank selaku rakan perbankan KLFW.

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram