TUMIT kering dan rekahan yang jelas dipandang oleh mata kasar adalah masalah biasa bagi semua orang.

Ia selalu berlaku kepada mak-mak yang berhempas-pulas di dapur, pekerja kilang yang banyak berdiri, cashier dan banyak lagi.

Namun kata portal kesihatan antarabangsa healthline.com berkata, masalah itu lazimnya disebabkan oleh kulit yang kehilangan kelembapan.

Bukan itu sahaja, selain daripada masalah penghidratan, beberapa faktor juga boleh menjadi punca kepada masalah tumit kering, antaranya seperti:

i) Persekitaran.
ii) Pendedahan kepada cahaya matahari yang berterusan.
iii) Masalah air.
iv) Penggunaan sabun yang tidak sesuai.

Apa yang pasti, apabila kulit kaki kering, ia boleh menyebabkan keretakan dan lebih parah sehingga boleh cetus pendarahan.

Jadi, pada hari ini, SinarPlus ingin membantu anada mengatasi masalah kerekahan dan menggelupas pada kulit kaki hanya menggunakan bahan-bahan alami yang selalunya terdapat di rumah sahaja.

Berikut bahan-bahannya:

1. Jus lemon/limau nipis.

Untuk menjadikan kaki lembut dan merawatnya dari pada tumit kering dan retak, rendam kaki dengan menggunakan lemon atau limau nipis.

Caranya, rendam selama 10 hingga 15 minit dan lakukan rawatan itu sekurang-kurangnya sekali sehari.

Oleh kerana sifat antibakteria dan antivirus yang terdapat dalam lemo, ia akan membantu membunuh bakteria serta melembutkan tumit.

Ulangi kaedah itu setiap hari selama 10 minit dan pasti anda akan kagum dengan hasilnya.

2. Minyak kelapa.

Minyak kelapa dapat membantu membunuh bakteria dan kuman serta melembutkan kulit.

Oleh kerana sifat antibakteria yang terdapat di dalamnya, ia dapat membantu mengatasi masalah tumit dengan segera.

Tatacaranya, rendam kaki dalam air suam dan tambahkan beberapa titis minyak kelapa selama 10 minit sambil menggosok dengan lembut.

3. Gliserin.

Pelembap berkhasiat yang terdapat dalam gliserin dapat membantu merawat tumit kering dan retak.

Mudah sahaja, ambil sesudu gliserin dan masukkannya ke dalam jus lemon.

Kemudian, kacau dan sapukan sedikit gliserin pada tumit dengan urutan lembut lalu pakai stoking semalaman dan cuci bersih keesokan harinya.

4. Batu pumis/apung.

Batu pumis atau apung terkenal digunakan untuk menghilangkan sel-sel kulit mati dan boleh berguna untuk merawat tumit kering dan retak.

Caranya, gunakan batu apung untuk menggosok kaki sehingga mengurangkan pengerasan kulit.

Ingat, lakukan kaedah itu beberapa kali sehari untuk menghilangkan tumit kering dan retak.

5. Gandum.

Gandum dapat membantu menghilangkan sel-sel kulit kering dan juga menjaga kesegaran kulit.

Kaedahnya, ambil sesudu oat dan tambahkan sedikit minyak jojoba (simmondsia chinensis).

Kemudian, kacau rata dan gosokkan pada tumit masalah lalu dibiarkan selama 30 minit dan bilas.

Cara lainnya, anda juga boleh merendam kaki dalam campuran air gandum diikuti dengan pelembap atau krim kaki.

6. Garam epsom.

Mandi dengan garam epsom (serbuk putih yang mengandungi magnesium sulfat hidrat).

Mudah sahaja, pertama sekali dapatkan baldi yang dipenuhi dengan air suam dan tambahkan beberapa sudu garam epsom.

Iklan

Kemudian, rendam kaki selama 10 minit.

Lakukan secara berkala untuk mendapatkan kaki lembut seperti bayi.

Namun, perlu diingatkan, hentikan rawatan jika kulit menjadi terlalu kering.

7. Cuka epal.

Cuka epal bukan sahaja dapat membantu merawat tumit yang retak, tetapi juga melembapkannya.

Ia kerana asid asetik yang terkandung di dalamnya dapat membantu pengelupasan kulit mati secara semula jadi.

Tatacaranya, campurkan setengah cawan cuka epal ke dalam tab berisi air suam.

Kemudian, rendam kaki dan tunggu sebentar untuk melihat hasilnya.

8. Madu.

Madu adalah pelembap hebat yang mempunyai sifat antivirus dan antibakteria yang dapat membantu melembutkan kaki.

Iklan

Sekiranya terdedah kepada kulit kering dan retak, cuba sapukan sedikit madu pada kulit sambil mengurutnya dengan lembut.

Lakukan rawatan tersebut secara berkala selama 10 hingga 15 minit agar kaki lembut dan tidak mengalami rekahan.

9. Pisang.

Pisang adalah bahan semula jadi yang dapat membantu melembapkan kulit kaki.

Caranya, cuba ambil pisang dan campurkan dengan satu sudu madu.

Selepas itu, kacau hingga membentuk pes lalu sapukan pada tumit kaki sambil menggosok dengan lembut.

Lakukan rawatan berkenaan sekurang-kurangnya dua kali dalam seminggu.

Artikel berkaitan: Cara mudah hilangkan sakit pada tumit kaki, tak perlu jumpa doktor, buat sendiri di rumah sahaja

Oleh itu, buat para pembaca SinarPlus yang mungkin mengalami masalah tumit kaki kering dan muncul rekahan-rekahan sehingga berdarah, bolehlah mencuba beberapa kaedah di atas bagi mengatasinya.

Selamat mencuba!

Sumber: liputan6.com