PELAKON Rozita Che Wan dan fesyen umpama simbiosis yang sukar dipisahkan.
Masakan tidak, lihat sahaja penampilan dirinya yang sentiasa tampak cantik dan anggun dalam pelbagai busana.
Rozita atau mesra disapa Che Ta, nampaknya bukan sahaja bijak memilih pakaian pada acara rasmi, malah kelihatan elegan tatkala menghadiri majlis minum petang, sambutan hari jadi ataupun bercuti baik di dalam mahupun luar negara.
Pendek kata jarang sekali kita akan melihat wanita berusia 47 tahun itu dalam keadaan tidak ‘bersiap’.
Barangkali, kelebihan pelakon utama Cik Kiah Pekasam tersebut memiliki sosok tubuh langsing dan tinggi membuatkan apa sahaja pakaian yang dipilih sepadan dengan gayanya.
Terbaharu, penampilan ibu kepada tiga cahaya mata berkenaan menjadi perhatian warganet apabila menyarungkan busana pengantin konsep tradisional rekaan pereka, Man Kajang.
Difahamkan, pasangan pelakon terbabit berpenampilan sedemikian sempena meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-7.
‘Pengantin’ lelaki segak persis pahlawan apabila lengkap berbaju Melayu, bertanjak dan berkeris.
Sementara itu, Che Ta pula anggun menyarungkan busana tradisional kombinasi fabrik songket dan bersanggul lintang.
“Selamat ulang tahun sayang @zainsaidin23. Tujuh tahun usia perkahwinan, tetapi terasa kita masih dating,” tulis Che Ta menerusi laman sosial Instagramnya @rozitachewan1 baru-baru ini.
Direkodkan, Che Ta dan Zain mendirikan rumah tangga pada 11 Disember 2013 dan dikurniakan anak perempuan, Aishah Dhia Rana berusia enam tahun.
Sementara itu, Che Ta juga memiliki dua anak lelaki, Ammar Effendy, 19 dan Aniq Ezzra berusia 17 tahun hasil perkahwinannya sebelum ini.