Semestinya ramai yang nak sihat dan bertenaga sepanjang hari pada bulan Ramadan ini. Bagi yang mengimpikan penurunan berat badan dan kekal cergas sepanjang hari, perkongsian daripada pakar kecergasan terkemuka, Kevin Zahri ini boleh diikuti.

Awal Ramadan adalah waktu yang tepat untuk anda menyusun rutin pemakanan agar berat sentiasa rasa bertenaga. Selain sajian berbuka puasa yang berkhasiat, pengambilan sajian sahur juga perlu dititikberatkan.

Antara yang selalu diberi keutamaan ialah memastikan badan cukup air atau terhidrat. Namun menurut Kevin, jika mahu air diserap oleh badan dengan baik, elakkan daripada minum terlalu banyak air semasa sahur kerana ia hanya akan cepat dibuang melalui kencing. Ujarnya, minum dua hingga tiga gelas semasa bersahur sudah memadai.

Kita bukan unta!

“Lebih banyak anda minum, lebih cepat ia dibuang. Minum dua hingga tiga gelas itu sudah cukup. Kita bukan unta,” tulis Kevin dalam perkongsiannya.

Selain itu, Kevin yang dikenali sebagai Cikgu Fitness Malaysia turut berkongsi lapan tips lain yang sangat baik untuk diikuti mereka yang berhajat untuk menurunkan berat badan secara sihat di bulan Ramadan ini.

Jangan ponteng sahur
Kevin mengingatkan supaya tidak meninggalkan sesi sahur. Sahur persediaan penting untuk memastikan tubuh menerima nutrien secukupnya selain daripada waktu berbuka. Selain sunnah Nabi Muhammad SAW, sahur mustahak untuk memastikan bekalan tenaga sepanjang hari.

Protein dan serat
Siapa tidak mahu kenyang lebih lama selepas bersahur. Untuk itu, Kevin menyarankan pengambilan makanan daripada kategori karbohidrat kompleks. Ini kerana tenaga yang dihasilkan bertahan lebih lama. Selain itu, serat dan protein ini juga akan mengenyangkan dalam tempoh yang lebih panjang.

Antara makanan daripada kategori karbohidrat kompleks ialah seperti rolled oat, ubi keledek, ubi kentang, kekacang, roti mil penuh, quinoa dan nasi beras perang.

Tak perlu kira kalori kaw kaw
Bagi korang yang menyasarkan penurunan berat badan secara sihat, pengiraan pengambilan kalori menjadi kebiasaan. Langkah ini menjadi rutin memandangkan sasaran utama untuk turun berat badan ialah dengan pengambilan kalori yang kurang daripada sebelumnya atau defisit kalori.

Bagaimana pun, ia berbeza untuk waktu makan sahur. Kevin tidak menyarankan pengiraan kalori yang terlalu spesifik. “Nasihat saya, sasarkan dalam 400-600 kilokalori untuk sesi sahur. Tidak perlulah mengira kalori kaw-kaw. Agak-agak gitu,” kata Kevin.

Elak garam
Bahan perasa mesti ada dalam setiap makanan ialah garam. Meskipun ia amat penting, garam perlu dihadkan dalam penyediaan sajian sahur.

“Garam akan mempercepatkan dehidrasi. Walau pun ia garam Himalaya! Kawal kuantiti pengambilan garam,”kata Kevin dalam catatannya.

Baca juga: Kurma Bukan Sekadar Membekalkan Tenaga, Tetapi Lebih Daripada Itu

Segenggam karbohidrat
Selain daripada pemilihan karbohidrat kompleks, kuantitinya juga memainkan peranan penting untuk memastikan badan sentiasa cergas sepanjang berpuasa. Segenggam karbohidrat semasa sahur sudah mencukupi.

Iklan

“Tidak kira sumber karbohidrat anda sama ada nasi, oat, roti, bijiran dan lain-lain, stick to segenggam tangan. Ia sumber tenaga utama badan,” kata jurulatih kecergasan berpengalaman lebih 15 tahun ini.

Elak kafein
Sesetengah daripada kita sudah biasa mengambil minuman mengandungi kafein semasa bersahur. Antara minuman yang tinggi kafein ialah kopi segera, minuman tenaga dan teh. Kevin yang juga pengasas Jom Kurus menegaskan kafein perlu dielakkan jika anda mahu kekal cergas di bulan Ramadan ini.

“Kafein bersifat diuretik dan akan mempercepatkan dehidrasi. Oh, minuman bergas berkafein juga.”

Elak suhu ekstrem
Suhu makanan dan minuman juga salah satu faktor memainkan peranan penting untuk memastikan penghadaman dalam keadaan baik semasa berpuasa. Kevin mencadangkan suhu makanan dan minuman yang suam agar perut tidak ‘terkejut.’

Iklan

“Suhu yang terlalu panas atau sejuk akan mengejutkan (shock) sistem penghadaman. Suam-suam gitu lebih baik.”

Keep calm dan bersahur
Memahami realiti ada di kalangan mereka yang kemungkinan ‘terbabas’ ketika berbuka puasa, Kevin memberikan kata semangat untuk terus mengamalkan sahur yang seimbang dan sihat.

It’s totally OK kalau sessi berbuka puasa anda tidak sempurna 100% dan tertenggelam kadangkala. Chillex.

Semoga dengan perkongsian ini korang boleh kekal cergas dan memperolehi kesihatan baik yang berterusan. Jangan lupa patuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan dalam memerangi Covid-19. Kita jaga kita.

Sumber: Kevin Zahri