KETEPIKAN seketika sama ada kita berpeluang pulang ke kampung atau tidak. Apa kata fokus kita kini ke arah mencari busana baharu sempena Aidilfitri nanti lantaran kegembiraan boleh ‘dicipta‘ di mana-mana.

Memanglah terlalu awal untuk dibincangkan, namun bukankah persiapan segera itu lebih baik? Tidak tergapa-gapai nanti.

Ya, jika sebelum ini, segmen Indeks Fesyen hanya dimonopoli oleh fesyen untuk kaum Hawa, pada kali ini kami terlebih dahulu membawakan pilihan busana untuk para jejaka di luar sana.

Berbaloi, berkualiti dan harga mampu milik. Itu rumusan penulis terhadap jenama NR Exclusive yang dipelopori anak muda berkebolehan, Muhamad Naqib Ab Rahim.

Muhamad Naqib
Muhamad Naqib

Ketika ditemui SinarPlus baru-baru ini, beliau yang mesra disapa Naqib teruja berkongsi katalog rekaan di bawah labelnya yang menumpukan kepada baju Melayu slimfit untuk kaum Adam tampil elegan.

Beritahu pemuda tersebut, istimewa untuk Aidilfitri pada tahun ini, NR Exclusive membawakan dua koleksi istimewa yang dinamakan Anta Kesuma dan Bentara.

Bercerita tentang Anta Kesuma, pereka fesyen berbakat berusia 27 tahun itu berkata, ia terdiri daripada baju Melayu Teluk Belanga dan Cekak Musang.

Saya menyediakan material terbaik iaitu menggunakan kain jenis royal king satin yang lembut, mudah digosok, malah mudah regang dan kurang kedut. Koleksi ini adalah berkonsepkan tempahan (pre-order) sekali gus menyelesaikan masalah saiz yang kerap berlaku,“ katanya yang pernah mendesain baju untuk beberapa pemimpin seperti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Dr Maszlee Malik dan beberapa tokoh korporat terkemuka negara.

Menariknya lagi tentang Anta Kesuma, ujar Naqib, beliau bukan sahaja menyediakan 15 pilihan nuansa warna mengikut kecenderungan ramai, malah menyelesaikan ‘isu‘ lengan baju yang terlalu panjang atau pendek yang sering dialami oleh si pemakai.

Anak kelahiran Kuantan, Pahang itu juga dilihat sebagai pereka yang bijak menangani isu yang banyak pihak terlepas pandang.

“Biasanya, ahli keluarga suka pakai sedondon dan kadang-kadang, saiz abang atau adik atau bapa sedikit lebih kurang sama. Apabila terjadi hal ini, baju atau seluar yang dipakai akan sering tertukar.

“Jadi, NR Exclusive menyelesaikan hal itu dengan menjahit nama pada kocek baju dan seluar. Ada pelanggan saya hanya guna initial nama mereka, tetapi ada juga yang meletak nama penuh mereka,“ katanya yang bakal terlibat dalam program Mara In Fashion (MIF) 2021 tidak lama lagi.

Sebelum terlupa, tempahan sama ada untuk orang dewasa sudah boleh dibuat bermula sekarang dan janji Naqib, baju boleh siap dalam tempoh dua minggu. Sementara untuk kanak-kanak dan bayi, ibu bapa perlu membawa mereka ke butik.

Iklan

 

Songket Thailand

Perbualan kami kemudian beralih bercerita tentang koleksi Bentara. Ujar Naqib, kepada mereka yang tidak berapa cerewet atau tiada masalah mengenai saiz, jenamanya juga menyediakan baju jenis siap untuk dipakai (Ready-To-Wear (RTW)).

Jangan risau, RTW juga ada dan pilihan warna lebih banyak iaitu 30 warna. Material juga jenis satin dari saiz XXS hingga XL. Sebagai tambah nilai, pembelian RTW disertakan pakej songket dan butang baju Melayu. Mereka cuma perlu membayar RM149 sahaja,“ katanya.

Bercakap mengenai songket, Naqib berkongsi sesuatu yang cukup unik.

Iklan

Ujar pereka yang bakal mencipta nama dalam persada fesyen negara itu, beliau menyediakan songket yang dibawakan khas dari Thailand. Cukup istimewa, bukan?

“Mungkin saya boleh katakan saya pereka fesyen pertama yang membawakan songket dari negara Gajah Putih itu sejak 2018. Berbeza dengan songket tempatan yang lebih ke arah paten floral, songket dari sana coraknya lebih simple, bercirikan abstrak, lembut dan paling penting berkualiti.

“Insya-ALLAH, sempena raya kali ini, semuanya saya sudah sediakan untuk pelanggan. Mereka boleh membeli atau menempah melalui laman web NR Exclusive atau boleh datang terus ke butik saya di Kota Damansara, Selangor,“ katanya yang juga pakar dalam mereka sut dan jubah peguam.