ADA di antara kita yang sangat gemar dengan kulit ayam. Dalam erti kata lain, lagi sedap dimakan apabila kulit ayam digoreng rangup dengan minyak yang banyak.

Namun demikian, apakah komposisi dalam kulit ayam dan bagaimana pula dengan mereka yang ‘taksub’ dengannya? Bukankah ia berlemak?

Menjawab kepada persoalan itu, pakar dietetik, Siti Amirah Shalihin berkata, kulit ayam dalam merupakan kategori lemak tepu dan lemak tak tepu iaitu kombinasi untuk kedua-duanya.

“Untuk sesiapa berisiko (Indeks Jisim Tubuh atau BMI berlebihan) atau mempunyai bacaan kolesterol yang tinggi, tak perlu ambil kulit ayam.

“Ia kerana kulit ayam mempunyai nilai lemak yang tinggi dan mempengaruhi pengambilan kuantiti lemak seseorang,” jelasnya.

Artikel berkaitan: Berita baik untuk penggemar nasi sejuk!

Berikut antara tip pinggan sihat untuk mengawal lemak mengikut panduan yang diberikan oleh Siti Amirah:

i) Pastikan dalam satu pinggan, satu sahaja sumber makanan berlemak.

“Contohnya dah ada santan, jangan ada ayam goreng. Dah ada gulai, jangan ada sayur tumis. Dah ada ayam sambal, jangan ada nasi goreng. Cara sebegitu perlu diamalkan sentiasa,” katanya.

Iklan

ii) Tidak ada satu pun makanan yang ‘jahat’.

Sebenarnya, rutin pemakanan harian dan status kesihatan terkini yang akan menentukan sama ada baik atau sebaliknya untuk mengambil kulit ayam.

Iklan

Oleh itu, sekali dalam sebulan, variasikan menu dan paling utama, jaga pemakanan dan kekal aktif.

“Semua komposisi utama makanan perlu ada dan seimbang dalam diet harian.

“Serat memberikan rasa cepat kenyang, karbohidrat memberikan tenaga cepat, protein pula memberikan rasa kenyang lama dan lemak bagi kepuasan makan. Kuncinya, kenali keperluan dan sistem badan masing-masing,” pesannya.